
Perodua Tawar Rebat Tunai Hingga 6 Peratus Untuk Semua Model Bermula Hari Ini
Khabar baik buat anda yang sedang mencari kereta baharu, Perodua antara jenama kenderaan terawal mengambil inisiatif menurunkan harga kenderaan mereka (harga atas jalan tanpa insurans) lebih awal dengan memberikan rebat tunai antara 3 hingga 6 peratus.
Rebat itu akan diberikan bermula hari ini sehingga 14 Jun 2020. Kemudian, harga baharu ini akan kekal sepanjang tempoh pengurangan cukai seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad, berkata senarai harga baharu semua modelnya selaras dengan pengumuman kerajaan baru-baru ini.
“Walaupun tempoh pengurangan cukai bermula 15hb Jun 2020, Perodua akan memberikan rebat tunai antara 3 peratus hingga 6 peratus bagi pembelian kenderaan kami bermula hari ini.”
“Kami ingin membolehkan orang ramai mengambil kesempatan ini untuk memiliki kenderaan Perodua tanpa berasa ketinggalan.
“Sila kunjungi mana-mana pusat jualan Perodua dan bercakap dengan penasihat jualan kami yang sah untuk mengetahui amaun rebat tunai yang ditawarkan serta senarai harga penuh yang akan berkuatkuasa 15hb Jun,” ujar beliau.
Barisan model semasa Perodua merangkumi Myvi, Axia, Bezza, Aruz dan Alza.
Dalam ucapan Rancangan Pemulihan Ekonomi pada 5 Jun lalu, Muhyiddin mengumumkan pelbagai langkah dan insentif rangsangan ekonomi di sebalik krisis COVID-19 yang melanda negara.
Antara insentif diberikan untuk membantu industri automotif adalah pengecualian cukai jualan 100 peratus untuk kenderaan pemasangan tempatan (CKD) dan 50 peratus untuk kenderaan import (CBU) hingga akhir tahun ini.
Walaupun rakyat Malaysia kini lebih berhati-hati dalam berbelanja berikutan wabak COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan, tetapi kenderaan persendirian masih diperlukan pada masa sukar ini.
Sepanjang lima bulan pertama 2020, Perodua berjaya menjual lebih 50 ribu unit kenderaan dengan menguasai 41 peratus pasaran.
Sementara itu, beberapa syarikat automotif lain termasuk Proton Holdings Bhd (PROTON), Sime Darby Auto Hyundai (SDAH), Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), TC Euro Cars (TCEC), Honda Malaysia, dan UMW Toyota Motor akan mengumumkan senarai harga baharu kenderaan keluaran masing-masing dalam masa terdekat atau selewat-lewatnya awal minggu depan.
BACA: Insentif Pengecualian Cukai Jualan Sehingga 100%, Adakah Harga Kereta Akan Jadi Lebih Murah?
Sumber: BH