Scammer

Pernah ‘Sakau’ RM1.3 Juta, Wanita Dedah Pengalaman Bertugas Sebagai Seorang ‘Scammer’

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Satu pengakuan dan pendedahan mengejutkan dari seorang ‘scammer’ berjaya diperolehi oleh seorang wartawan tempatan, Nuraina Hanis Abd Halim.

Dalam laporan yang diterbitkan di portal berita Utusan Malaysia tersebut, diceritakan mengenai seorang wanita rakyat Malaysia yang pernah ‘berkhidmat’ dengan satu sindiket penipuan siber selama tiga bulan.

Bekas ‘scammer’ wanita berumur lewat 20-an yang berasal dari Sabah itu turut mendedahkan bahawa dia pernah ‘mengaut’ sebanyak RM1.3 juta hasil dari aktiviti penipuan yang dilakukan terhadap seorang lelaki berusia 60-an.

Lelaki tersebut berjaya diperdayakan dengan mudah selepas wanita tersebut memaklumkan dia mempunyai tunggakan cukai dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Meskipun berasa kasihan dan simpati dengan mangsanya itu, dia beranggapan nasib dirinya adalah yang perlu diutamakan dan difikirkan terlebih dahulu.

Jumlah RM1.3 juta tersebut merupakan ‘kejayaan’ terbesar buat dirinya yang berjaya dicapai sepanjang tempoh menjadi penipu siber ketika pandemik COVID-19 dua tahun yang lalu.

Namun demikian, daripada jumlah RM1.3 juta itu, dia hanya diberi ganjaran sebanyak dua peratus atau RM26,000 sahaja.

Menurut wanita itu lagi, pusat panggilan penipuan tersebut beroperasi di beberapa buah vila di sebuah daerah di Sarawak dengan setiap vila memuatkan 15 orang ‘scammer’.

Tugas seorang ‘scammer’ juga sebenarnya tidak penat di samping berupaya memperolehi ganjaran lumayan dengan mudah jika mampu menipu ramai mangsa setiap hari.

“Purata scammer perlu memenuhi kuota memperdaya kira-kira 110 mangsa sehari yang boleh memberi keuntungan sehingga jutaan ringgit.

“Itu antara syarat wajib perlu dilakukan ejen talian pelanggan atau ‘scammer’. Saya bekerja dengan sebuah sindiket penipuan di Sarawak,” jelasnya.

Dia terjebak dengan sindiket yang berpengkalan di Taiwan tersebut kerana terdesak selepas kehilangan pekerjaan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu.

“Saya diberi kursus sebelum dibawa ke sebuah vila di negeri tersebut untuk bekerja sebagai ‘scammer’ dan disyaratkan memperdaya sekurang-kurangnya 110 mangsa sehari.

“Ketika diajak, saya memang tahu itu kerja ‘scammer’ dan saya ditempatkan di salah sebuah vila milik sindiket yang mana setiap rumah diduduki 15 orang. Tingkap ditutup seakan-akan dalam penjara selain telefon bimbit dipegang dan hanya diberi seminggu sekali untuk menghubungi keluarga.

“Kami bekerja dari pukul 8 pagi hingga 5 petang berbekalkan telefon bimbit, komputer riba dan sistem telefon suara melalui protokol Internet (VoIP) bagi memintas nombor telefon untuk menghubungi mangsa-mangsa,” tambahnya lagi.

Wanita itu turut mendedahkan mengenai sistem panggilan yang digunakan oleh semua ‘scammer’ yang tidak boleh dikesan lokasi pemanggilnya kerana mereka menggunakan rangkaian peribadi maya (VPN) yang boleh menyembunyikan lokasi.

“Contohnya kami menggunakan pelayan VPN di Kuala Lumpur, jadi dalam talian menunjukkan kami berada di ibu negara walhal di Sarawak. Itu juga antara sebab vila tersebut tidak pernah diserbu pihak berkuasa.

“Hal itu juga menyebabkan banyak mangsa terpedaya apabila dalam talian menunjukkan nombor-nombor seperti dari Balai Polis Segamat, LHDN atau lain-lain,” ujarnya.

Tambahnya lagi, antara penipuan yang dijalankan di tempat dia bekerja ialah penipuan Macau, penghantaran barang, tunggakan Telekom Malaysia, tunggakan LHDN serta ugutan kes-kes mahkamah yang melibatkan mangsa dari golongan umur 50-an hingga 70-an.

Selepas mangsa berjaya diperdaya, sindiket itu akan mengeluarkan hasil penipuan mereka di mesin pengeluaran wang automatik menggunakan beberapa akaun keldai.

Dalam tempoh tiga bulan bertugas sebagai ‘scammer’, dia berjaya meraih pendapatan mencecah RM50,000 dan tidak termasuk bonus khas sebanyak RM26,000 kerana berjaya menipu seorang mangsa sebanyak RM1.3 juta.

Selepas berhenti, dia dimaklumkan sindiket tersebut juga telah menghilangkan diri dan menukar modus operandi setelah operasi mereka dapat dihidu oleh pihak berkuasa.

“Saya berhenti kerana memikirkan nasib jika saya ditangkap. Saya juga kasihan dengan keluarga saya yang tinggal di kawasan pedalaman di sebuah negeri,” jelasnya dengan nada kesal.

Scammer

BACA: ‘Scammer’ Kini Lebih ‘Bertimbang Rasa’, Tak Minta Banyak, RM1 Pun Boleh!

Sumber: Utusan Malaysia