Kisah Kebaya Malaysia Airlines

Pernah Disenarai Seragam Paling Cantik Di Dunia, Ini Kisah Di Sebalik Kebaya Anggun Malaysia Airlines

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Kisah Di Sebalik Kebaya Anggun Malaysia Airlines

Siapa tidak kenal pakaian seragam pramugari syarikat penerbangan Malaysia Airlines Berhad (MAB) yang ikonik ini terutama apabila anda menaiki penerbangan dan berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Berani untuk mengatakan, mereka yang belum pernah menaiki penerbangan Malaysia Airlines juga turut mengagumi keanggunan kebaya seragam pramugari penerbangan ini.

Untuk pengetahuan anda, baju kebaya yang selamai ini menjadi simbol pakaian seragam bagi pekerja syarikat MAB telah dinobatkan antara yang tercantik di dunia.

Baju kebaya tersebut telah menjadi identiti Malaysia Airlines sejak 34 tahun lalu dan praktikal untuk pergerakan selain mempunyai keunikan corak yang melambangkan identiti negara ini.

Namun, tahukah anda siapakah yang mereka kebaya ikonik Malaysia Airlines ini?

Kebaya seragam yang anda lihat pada hari ini iaitu warna rona hijau gelap dan bunga rona merah jambu sebenarnya telah mengalami beberapa perubahan.

Sejarah syarikat penerbangan ini bermula pada 1937 apabila Malayan Airways Limited didaftarkan sebagai sebuah syarikat. Operasi penerbangan bermula pada 1947 menggunakan pesawat membawa simbol Harimau Bersayap.

Pada tahun 1963, syarikat penerbangan ini telah dinamakan Malaysian Airways Limited apabila Persekutuan Malaysia ditubuhkan. Dalam masa yang sama, Borneo Airways Limited juga diserap masuk ke dalam Malaysia Airways Limited.

Kemudian pada 1967, syarikat penerbangan ini dinamakan semula sebagai Malaysia-Singapore Airline Limited (MSA) lalu menjadi syarikat penerbangan kebangsaan yang dikongsi oleh kedua-dua negara dengan logo yang baru diperkenalkan.

Namun, selepas perpisahan Singapura daripada Malaysia, MSA telah dipecahkan kepada dua syarikat penerbangan. Maka lahirlah syarikat penerbangan Malaysia iaitu Malaysian Airlines System (MAS) dan syarikat penerbangan Singapura, Singapore Airlines dengan masing-masing membawa polisi dan objektif tersendiri.

Kisah Kebaya Malaysia Airlines
Sumber: NST

Mengenai pakaian seragam petugas MAS, rekaan Sarong Kebaya diperkenalkan pada tahun 1986. Seragam ini telah direka oleh Fakulti Fesyen Institut Teknologi Mara (kini dikenali sebagai UiTM).

Corak batik yang digunakan menggambarkan motif kelerai ataupun anyaman buluh. Corak ini menjadi latar belakang dan bersatu dengan warna asas seragam tersebut.

Kemudian, beberapa corak flora asli Malaysia seperti cempaka, jasmin, dan daun-daun bunga raya disulam pada motif kelerai tersebut. Motif geometri Sarawak digunakan pada kelim-kelim baju, hujung lengan dan kain sarong.

Pada 1 Januari 1993, warna batik ini dicantikkan lagi untuk dipadankan dengan warna seragam baru pramugaranya. Begitulah cantiknya evolusi pakaian seragam petugas Malaysia Airlines.

Singapore Airlines warisi pakaian seragam asal MSA

Berbalik kepada selepas perpecahan MSA, Singapore Airlines mewarisi pakaian seragam asal manakala Malaysia Airlines pula mengenakan rekaan kebaya yang baharu.

Kisah Kebaya Malaysia Airlines

Difahamkan, rekaan kebaya asal pramugari MSA adalah rekaan pereka terkemuka dunia, Balmain. Rekaan tersebut masih lagi digunakan oleh pramugari Singapore Airlines yang kini popular dengan gelaran Singapore Girls.

Pakaian seragam Malaysia Airlines pernah dicuba untuk ditukar rekaan pada tahun 2016. Namun, idea tersebut mendapat tentangan dan kritikan hebat rakyat Malaysia dengan menyifatkan bahawa uniform sedia ada sudah cukup ikonik dan melambangkan identiti Malaysia.

Jadi, rekaan kebaya seragam itu masih kekal hingga ke hari ini yang sudah pun menjangkau 34 tahun.

Sumber: Ahmadzaki82, Mynewshub