Pernah Dipecat Daripada Jawatan TPM Kerana Persoal 1MDB, Muhyiddin Yassin Kini Sah PM Ke-8

Pertabalan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-8 oleh Yang di-Pertuan Agong hari ini merupakan hari yang penuh bersejarah.

Mengimbas kembali detik-detik sebelum bergelar Perdana Menteri Malaysia yang ke-8, Muhyiddin Yassin sebelum ini pernah dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri pada Jun 2016; Perdana Menteri ketika itu ialah Datuk Seri Najib Tun Razak gara-gara mempersoalkan mengenai kes skandal kewangan terbesar 1MDB.

Perselisihan dengan Najib Razak yang bermula sekitar 2015 menemui puncak kedua apabila beliau kemudiannya dipecat oleh Majlis Tertinggi UMNO atas alasan pelanggaran displin dan keputusan berkenaan sudah beliau duga dari awal lagi.

Muhyiddin Yassin PM ke-8

UMNO yang dahulunya menjadi sebahagian daripada denyut nadi dan darah daging beliau akhirnya menyaksikan kejatuhannya gara-gara menyatakan kebenaran dan kebencian pada pemimpin UMNO yang korup dan menyeleweng.

Tiga tahun tanpa hala tuju politik, Muhyiddin kemudiannya kembali menyinar apabila mencatatkan kemenangan di kerusi Pagoh pada PRU-14 yang menyaksikan pemerintahan lebih 60 tahun UMNO dan Barisan Nasional tumpas.

Menyertai politik pada usia awal 20-an lagi, Muhyiddin pernah bersama Mahathir sebagai Menteri Besar Johor pada 1986 dan mempunyai hubungan rapat dengan Anwar Ibrahim yang pada ketika itu merupakan Ketua Pemuda UMNO.

2 Muhyiddin Yassin Perdana Menteri Ke-8

Walaupun keputusan lantikan beliau sebagai Perdana Menteri ke-8 dibuat oleh YDPA, ada pihak yang masih tidak bersetuju sehingga menyebabkan tanda pagar #notmyPM trending di laman Twitter.

Menjadi penyelamat selepas seminggu Malaysia berdepan kemelut tidak memiliki Perdana Menteri berikutan perletakan jawatan oleh Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri ke-7, drama politik mengenai jawatan Perdana Menteri Malaysia yang ke-8 ini masih lagi berlarutan berikutan ‘kegagalan’ Anwar Ibrahim naik sebagai PM ke-8 seperti yang dijanjikan Tun Mahathir selepas memenangi PRU14.