
Pernah Diambil Tindakan Sebelum Ini, ‘Kancil Lejen’ Dikesan Kembali Berkeliaran Di Jalan Raya
Keberadaan Kancil lejen di atas jalan raya baru-baru ini mengingatkan semula kisahnya yang tular di media sosial beberapa tahun lalu.
Pada waktu itu, kereta Perodua Kancil berwarna hijau dalam keadaan usang tetapi masih gah di atas jalan raya menjadi perhatian netizen.
Bagaimanapun, kereta berkenaan telah ditahan polis selepas menerima maklumat awam dan pemeriksaan mendapati cukai jalan sudah tamat tempoh setahun yang lalu.
Masih kekal menjadi misteri siapakah pemilik disebalik Kancil Lejen itu, kini dikesan berkeliaran di atas jalan sekitar Kepong.
Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menerusi kemas kini di Facebook memaklumkan telah melaporkan perkara itu kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengambil tindakan lanjut.

“Keberadaan kereta ini di jalan raya sangat membahayakan. Tayarnya sudah pecah dan kepala pemandu terkeluar dari kereta. Kalau dibiarkan di jalan raya, pasti akan berlaku sesuatu. Trafik di Kepong pula sentiasa sibuk.
“Pihak pejabat saya sudah melaporkan isu ini kepada pihak berkuasa DBKL dan dalam masa terdekat ini, kereta ini akan ditunda. Lokasi kereta ini sudah dikenal pasti,” katanya.
https://www.facebook.com/limlipengOfficialPage/posts/2191894327613711
Beliau yang turut berkongsi video kereta tersebut berada di atas jalan raya dan menggesa pihak berkuasa termasuk pihak polis mengambil tindakan sebelum kejadian tidak diingini berlaku.
Menurutnya, yang menjadi keutamaan adalah memastikan kenderaan tersebut tidak berada di atas jalan demi keselamatan pengguna.
Berdasarkan maklumat orang awam, kereta Kancil Lejen itu sering kelihatan di Kepong selain pernah juga dilaporkan melalui jalan Rawang.
Pemilik kereta berusia lingkungan 40-an itu pernah diambil tindakan sebelum ini tetapi menggunakan dua kereta Perodua Kancil lain yang telah ditahan.
Satu kenderaan tersebut telah dilupuskan sementara sebuah lagi kenderaan kini berada di stor Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak.
Ini merupakan kes ketiga dilaporkan yang mana tindakan boleh dikenakan atas kesalahan cukai jalan dan struktur kenderaan tersebut jika berada di atas jalan.
Sehingga hari ini, identiti pemandu kereta Kancil kekal menjadi misteri dan persoalannya mengapa dan apa tujuan berbuat demikian?
Sumber: Sinar Harian