
Permohonan Gerakan Ditolak, Mahkamah Benarkan Tulisan Jawi Diajar Di Sekolah Vernakular
Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada Khamis (28 Nov) menolak permohonan Gerakan yang mahu pembelajaran tulisan Jawi tidak diajar di sekolah Cina dan Tamil di seluruh negara.
Permohonan yang difailkan Gerakan itu ditolak dan keputusuan itu dibuat Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Amarjit Serjit Singh yang memutuskan tulisan Jawi adalah sebahagian daripada bahasa Malaysia, yang juga bahasa kebangsaan.
Katanya, pelaksanaan pembelajaran tulisan Jawi oleh kerajaan juga tidak bertentangan dengan semangat Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 dan peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Pada September lepas, Gerakan memfailkan saman terhadap kerajaan Pusat bagi mencabar keputusan kerajaan yang mahu melaksanakan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Mereka percaya pengajaran tulisan Jawi boleh membawa persepsi Islam disebarkan kepada pelajar agama lain, seperti yang diajar dalam kelas Pengajian Islam.
Gerakan yang memfailkan saman itu melalui Presidennya, Dominic Lau Hoe Chai menamakan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, timbalannya Teo Nie Ching dan Kerajaan Persekutuan sebagai responden.
Bagaimanapun, Gerakan yang diwakili peguam Mak Kah Keong dan Tan Lee Kiat berkata jawatanakuasa parti itu akan bermesyuarat untuk menentukan sama ada mengemukakan rayuan berhubung keputusan itu.
Sumber: Berita Harian