
Perjalanan Penuh Emosi Si Penghapus Trauma Dalam Drama Terbaru Netflix, ‘Move To Heaven’
Siri terbaharu di platform penstriman Netflix, Move to Heaven menjadi sebutan ramai kerana tema yang dibawanya.
Mengisahkan mengenai Han Geu-Ru (lakonan Tang Joo-Sang), seorang pemuda dengan sindrom Asperger yang menguruskan perniagaan ayahnya sebagai penghapus trauma di syarikat Move to Heaven.
Move to Heaven merupakan sebuah syarikat yang membantu mengemas arang-barang yang ditinggalkan individu meninggal dunia, termasuklah mangsa bunuh diri, mangsa pembunuhan dan sebagainya.
Pada suatu hari, ayah Geu-Ru, Han Jeong-U (lakonan Ji Jin-Hee) meninggal dunia. Tugas menjaga Geu-Ru diserahkan kepada adiknya, Cho Sang-Gu (lakonan Lee Je-Hoon) yang baru sahaja keluar dari penjara.
Diinspirasikan daripada esei bukan fiksyen, Ddeonan Hooe Namgyeojin Geotdeul oleh Kim Shae-Byeol pada 2015, ini tiga sebab mengapa drama ini perlu anda tonton:
1. Kisah Menyentuh Hati
Tidak pernah tema tentang kematian itu sinonim dengan perasaan gembira.
Setiap tugasan yang syarikat Move to Heaven terima, ada cerita di sebaliknya yang meruntun hati penonton.
Sebagai contoh, babak kematian seorang warga emas yang sudah berulat kerana ditemui selepas hampir seminggu kematiannya.
Namun yang menyedihkan, anak dan menantu si mati hanya peduli pada berapa banyak harta yang mak mereka tinggalkan.
2. Isu sosial
Selain filem/drama Tamil, filem/drama dari Korea Selatan turut memiliki reputasi dalam membawa isu-isu yang berlaku dalam masyarakat ke dalam filem sebagai salah satu tanda kritik dan protes mereka.
Biarpun cuma 10 episod, drama Move to Heaven tetap berjaya menyampaikan mesej mereka kepada penonton, terutamanya tentang hubungan antara emosi dan sosial seseorang.
Selain daripada jurang pendapatan yang besar sehingga menyebabkan masalah-masalah lain yang seterusnya membawa kepada penyelesaian akhir yang mangsa rasakan betul iaitu bunuh diri.
3. Watak
Kehebatan pelakon Lee Je-Hoon dalam memainkan watak yang diberikan tidak lagi perlu diperkatakan.
Namun satu lagi watak utama drama ini, Tan Joon-Sang yang membawa watak Han Geu-Ru wajar diberikan pujian.
Biarpun sebelum ini beliau hanya diberikan watak-watak sampingan antaranya sebagai Geum Eun-Dong dalam pasukan Kapten Ri Crash Landing on You, watak utamanya dalam Move to Heaven sangat memberi impak sehingga terlihat real.
Drama ini turut menampilkan beberapa artis terkenal yang lejen antaranya Lim Won-Hee, Lee Moon-Sik, Jung Suk-Yong, Jung Young-Joo dan Yun Ju-Sang.