Perintah Kawalan Pergerakan: Tak Sampai Ahad, Angkatan Tentera Mula Dilihat Berada Di Beberapa Kawasan?

Enam perintah yang perlu dipatuhi semua rakyat Malaysia semasa dalam Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 hingga 31 Mac ini termasuklah larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara, sekatan menyeluruh semua perjalanan, sekatan kemasukan semua pelancong, penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta, penutupan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) dan penutupan semua premis kerajaan dan swasta.

Walaupun langkah drastik ini diambil bagi membendung wabak COVID-19 yang sudah mencatatkan 900 kes di Malaysia dengan dua angka kematian dan 15 kritikal, masih ada yang mengambil sambil lewa arahan ini.

Susulan dengan kedegilan yang ditunjukkan oleh beberapa rakyat Malaysia, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam mengeluarkan kenyataan berkemungkinan besar perkhidmatan tentera akan digunakan sekiranya orang ramai masih ingkar mematuhinya.

BACA: Khidmat Tentera Mungkin Akan Digunakan Jika Orang Ramai Masih Ingkar – Menteri Pertahanan

Dalam kenyataan hari ini pula, beliau memaklumkan keputusan mesyuarat memutuskan supaya anggota tentera ditempatkan untuk membantu Polis Diraja Malaysia bermula Ahad ini dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan ini dan berharap rakyat tidak percaya kepada berita palsu yang disebarkan termasuklah yang berkaitan darurat dan penyemburan racun serangga.

Tentera Berkawal Mulai Ahad Perintah Kawalan Pergerakan 1
Sumber: FB Markas ATM

 

Tentera Berkawal Mulai Ahad Perintah Kawalan Pergerakan
Sumber: FB Markas ATM

Hebahan berita palsu itu kemudiannya truut dinafikan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang bahawa hebahan maklumat berkenaan adalah tidak tepat.

Menurut beliau, gambar dan video yang tersebar di laman media sosial itu sebenarnya gerakan aset Tentera Darat yang menjalani latihan ketenteraan dan diperintahkan kembali semula ke kem masing-masing atas ketetapan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan Perdana Menteri 16 Mac lalu.

“Perkara membabitkan latihan kenteraan ditangguh buat sementara waktu. Bagaimanapun, perkara membabitkan operasi dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan negara tetap akan dilaksanakan seperti biasa.

Jadi, orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpengaruh dengan sebarang dengan sebarang berita yang boleh mencetuskan kebimbangan dan panik dalam kalangan masyarakat.”

Sumber: Berita Harian, Facebook Markas Angkatan tentera Malaysia, Astro Awani