
Perikatan Nasional Lantik Dua Individu Bukan Ahli Politik Sebagai Menteri
Pengumuman senarai jemaah menteri kerajaan Perikatan Nasional kali ini melakar sejarah tersendiri, apabila tidak seperti sebelum ini yang secara tradisinya menyaksikan pemimpin-pemimpin utama parti, diberikan tempat di dalam barisan Kabinet.
Buat pertama kali, kerajaan baharu di bawah kempimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, tidak menyenaraikan beberapa presiden parti di dalam Kabinetnya, termasuk Presiden UMNO dan Presiden PAS.
BACA: Senarai Lengkap Jemaah Menteri Kabinet Baharu 2020
Dua individu profesional yang bukan sebahagian ahli politik turut dilantik sebagai Senator untuk menjawat portfolio menteri iaitu CEO CIMB Group Holdings Bhd Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Menteri Kewangan, dan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, 47
Tengku Zafrul memiliki Ijazah Sains (Kepujian) Ekonomi dan Perakaunan daripada Universiti Bristol, United Kingdom (UK), dan Ijazah Sarjana Sastera (MA) dalam bidang Kewangan dan Pengurusan daripada University of Exeter, UK.
Pendidikan awalnya bermula di Sekolah Rendah Sri Petaling dan Sekolah Rendah Bukit Bintang, serta memasuki Kolej Melayu Kuala Kangsar sebelum mengikuti pengajian A Level di Sherborne School, Dorset, UK.
Beliau mempunyai pengalaman selama 22 tahun dalam bidang perbankan dijangka menjadi kelebihan untuk beliau menerajui Kementerian Kewangan.
Selain menjadi Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif CIMB Group Holdings Berhad, beliau juga berpengalaman luas mengisi pelbagai jawatan di bank serta syarikat terkemuka negara.
Sebelum menerajui CIMB, jawatan terakhir beliau bersama Maybank Investment Bank Berhad dan Maybank Kim Eng Holdings ialah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif.
Pernah juga menjadi pegawai kanan di Citigroup Malaysia, Kenanga Holdings Berhad dan Avenue Securities.
Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, 51
Pertama kali dalam sejarah, seorang mufti dilantik menganggotai barisan jemaah Kabinet.
Dr. Zulkifli merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Islam Madinah, Ijazah Sarjana Syariah daripada Universiti Ulum al-Islamiyyah wa al-Arabiyyah, Syria dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) daripada Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang pengkhususan pengeluaran Fatwa.
Beliau juga adalah Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu dan Negeri Sembilan selain terbabit sebagai penasihat syariah dalam beberapa institusi kewangan.
Dr. Zulkifli dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan pada Jun 2014 sehingga kini.
Terkenal dengan perwatakan warak dan sopan, beliau sering dikunjungi ibu bapa yang ingin memintanya supaya mentahnikkan bayi yang baru lahir.
Semoga dengan pelantikan baharu ini dapat membawa Malaysia ke arah yang lebih baik.
Sumber: BH, Harian Metro
Trending now



