PM Lubnan Letak Jawatan Korupsi

Perdana Menteri Lubnan Letak Jawatan, Akui Korupsi Jadi Punca

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Kerajaan Lubnan bubar apabila Perdana Menteri Hassan Diab meletakkan jawatan semalam di tengah-tengah kemarahan di dalam dan di luar kerajaannya berhubung letupan bom di Pelabuhan Beirut pada Selasa lalu.

Hassan Diab mempersalahkan ketidakcekapan serta endemik korupsi yang berlaku selama berdekad dalam kelas pemerintahan sebagai punca kejadian tersebut berlaku.

“Hari ini kami tunduk kepada rakyat dan tuntutan mereka supaya mempertanggungjawabkan mereka yang bertanggungjawab kepada bencana yang disembunyikan selama tujuh tahun,” katanya pada perutusan disiarkan saluran televisyen negara itu.

Beliau turut menyalahkan kumpulan elit politik yang ‘korup’ kerana letupan 4 Ogos lalu.

“Kerana itulah hari ini saya mengumumkan pengunduran kerajaan.”

Politik Lubnan dikuasai oleh bekas-bekas panglima perang semasa dalam Perang Saudara yang berlaku pada tahun 1975 hingga 1990 dan mengubah mereka yang berpakaian tentera kepada pakaian sut.

“Rasuah yang mereka lakukan mencipta tragedi ini.

“Antara kita dan perubahan adalah berdirinya dinding yang tebal yang dilindungi oleh taktik kotor,” katanya.

Perkembangan itu berlaku susulan tunjuk perasaan anti-pembaharuan hujung minggu lepas yang ganas yang mana 728 orang cedera dan seorang pegawai polis terbunuh di tengah tindakan keras oleh pasukan keselamatan.

PM Lubnan Letak Jawatan Korupsi

BACA: Rasa Sedih Bertukar Marah, Seruan Reformasi Bergema Selepas Insiden Letupan Beirut

Hassan Diab, yang dilantik pada Disember lalu, adalah Perdana Menteri kedua Lubnan yang meletak jawatan dalam tempoh 10 bulan.

Kerajaannya, yang dibentuk pada Januari ditugaskan menangani krisis ekonomi yang memuncak, diserang hebat selepas letupan pelabuhan yang membunuh 160 orang, mencederakan 600 yang lain dan merosakkan sebahagian besar Beirut.

Letupan 4 Ogos itu berlaku ketika Lubnan sudah pun terheret krisis ekonomi yang menjunamkan nilai mata wang, menyebabkan jutaan rakyatnya hidup dalam kemiskinan dan pada masa sama berdepan wabak COVID-19 yang mengganas.

Sumber: BBC