Perbalahan Isu Berkait Jual Beli PLUS Punca PH Tumbang?

Sumber: The News Strait Times

Hari ini merupakan hari kedua Tan Sri Muhyiddin Yassin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri kelapan di Perdana Putra.

Semalam, timbul spekulasi mengenai isu berkait jual beli PLUS dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang dikatakan menjadi punca gabungan politik itu berpecah minggu lepas dan tumbang selepas tidak kurang dua tahun menerajui pentadbiran negara.

Laporan itu disiarkan di portal antarabangsa Bloomberg, yang memetik sumber dirahsiakan mengatakan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju menerima bidaan syarikat konglomerat Maju Holdings mengambil alih PLUS Malaysia Bhd.

Bagaimanapun, perjanjian pengambilalihan PLUS oleh Maju Group itu ditentang rakan parti gabungan, DAP yang akhirnya membawa kepada penolakan semua bidaan ke atas PLUS.

PLUS Punca PH Tumbang
Sumber: Sinar Harian

Laporan itu turut mendakwa tentangan itu mempunyai kaitan dengan rekod lampau Maju Group dan hubungan rapat firma itu dengan mantan Perdana Menteri.

Katanya, Maju Group begitu yakin dapat mengambil alih PLUS dengan membuat persediaan menghubungi beberapa bank untuk mendapat pembiayaan sebelum Kabinet memutuskan menolak sebarang bidaan pada awal Januari lalu. Sebaliknya, memilih menstrukturkan semula konsesi untuk mengurangkan kadar tol lebuh raya.

Dalam pada itu, laporan Bloomberg juga mendakwa faktor lain yang memecahkan PH ialah rancangan pemulihan syarikat seperti Malaysia Airlines dan FGV Holdings.

PLUS kini kekal dengan 2 pemiliknya, iaitu dana pelaburan kerajaan Khazanah Nasional yang menguasai 51% melalui UEM Group dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang memiliki 49% kepentingan, sementara kadar tol dikurangkan sebanyak 18% dengan jaminan tiada kenaikan untuk tempoh 30 tahun lagi.

Sumber: Bloomberg, FMT