Penjawat Awam

Perangai Buruk Segelintir Penjawat Awam Yang Sering Mengundang Kemarahan Ramai

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Entah kenapa, sejak dari dulu lagi reputasi penjawat awam di Malaysia selalunya dicemari dengan pelbagai kisah yang tidak enak didengar.

Bukan sahaja di kalangan masyarakat, perangai mereka yang sememangnya diketahui umum tersebut difahamkan telah menjadi masalah dalaman sejak sekian lama dan masih lagi berlaku di setiap jabatan kerajaan pada hari ini.

Ir. Hj. Zainuddin Omar yang pernah bertugas sebagai seorang penjawat awam satu ketika dahulu turut mengakui sikap negatif segelintir kakitangan kerajaan ini yang diceritakannya melalui perkongsian pengalaman di Facebooknya berikut.

Di ruangan komen, beliau juga sempat berjenaka, “Nasib baik sudah pencen. Sebab tulis kritik membina begini, akan kena tindakan disiplin turun pangkat atau buang kerja. Ahaks ahaks ahaks.”

Jom ikuti perkongsian yang sangat menarik ini untuk renungan dan keinsafan bersama.

Penjawat Awam

Perangai Jelik Segelintir Penjawat Awam

SAYA bertugas sebagai penjawat awam selama lebih 30 tahun, bermula sebagai jurutera kuli sehingga menjadi pegawai atasan.

Selama 30 tahun bertugas, berbagai ragam staf kakitangan awam saya temui dan kerap terpaksa melayan kerenah mereka.

Adakala saya melayan perangai mereka tetapi banyak kali saya templak sahaja dan gagau mereka dari dunia khayalan, agar mereka dapat fokus kepada kerja.

Antaranya ialah:

1) Mahu bekerja berdekatan rumah di negeri kelahiran mereka sahaja

Apabila seorang penjawat awam dinaikan pangkat terutama kakitangan persekutuan, mereka akan dipindahkan untuk mengisi kekosongan jawatan di tempat lain.

Kekosongan jawatan tersebut mungkin di negeri berlainan.

Saya mempunyai ramai staf yang sangat bermasalah kerana bekerja jauh dari tempat kelahiran mereka.

Jika mereka diarah berpindah tempat kerja ke negeri lain kerana kenaikan pangkat, mereka akan berpindah seorang diri dan tidak membawa keluarga, dengan harapan dapat pindah balik ke tempat asal dalam masa terdekat.

Apabila di tempat baru mereka akan menyewa bilik atau berkongsi dengan geng mereka, walaupun sudah berumur.

Kemudian mereka akan ‘kacau’ ketua jabatan acap kali untuk dipindahkan ke negeri asal mereka semula.

Selagi tidak dapat pindah selagi tu mereka akan ‘harrass’ bos sehingga hajat mereka tercapai.

Apabila hati tak tenang dan tempat kerja difikirkan sementara, minda mereka tidak fokus pada kerja seperti melepas batuk di tangga.

Itulah masalahnya staf begini yang selalu menyusahkan jabatan.

“Mat, lain kali minta ofis pindah sebelah rumah awak sahajalah, senang gitu” saya selalu templak staf-staf yang asyik mohon pindah ke negeri asal mereka.

Alasan mereka:

  • “Saya sudah beli rumah di sana”
  • “Mak bapak saya tak kasi kerja jauh”
  • “Anak saya dah sebati dengan sekolah situ”
  • “Jauh dari adik beradik dan saudara mara”
  • “Penat saya nak ulang alik balik kampung”
  • “Kebun dan kucing saya siapa nak jaga?”
  • “Saya tak larat makan dari makanan negeri lain”

Staf sebegini, dunia hanya berlegar dengan kehidupan dia sahaja tanpa memikirkan orang lain.

2) Merungut dan cuba menepis bila diberi kerja tambahan

Ada staf apabila diberi kerja tambahan akan cuba menepis dengan seribu alasan.

Mereka hanya akan buat kerja yang sudah biasa dibuat puluhan tahun tanpa ingin menambah skil atau pengetahuan kerana sudah berada dalam “comfort zone”.

Harus diingat bahawa ketua masing-masing memerhatikan perangai staf yang tidak mahu membuat kerja tambahan seperti diarahkan.

Jangan salahkan bos apabila anda dilangkau kenaikan pangkat oleh pegawai lain atau anda terperap di jawatan yang sama sehingga bersara.

Pernah saya menanya kepada seorang kerani mengenai borang permohonan persaraan secara pilihan yang tersangkut di meja beliau di ibu pejabat.

Saya perlukan permohonan diluluskan secepat mungkin kerana telah mendapat tawaran dari satu GLC.

“Encik kena tunggu. Tengok atas meja saya bertimbun borang yang sedang diproses” jawab kerani tersebut apabila saya berjumpa beliau.

Sebenarnya kerja beliau amat mudah iaitu sahkan butiran perkhidmatan yang disemak semula dalam komputer.

“Beginilah, saya tunggu depan puan sehingga borang permohonan saya diproses” jawab saya.

Oleh kerana ‘fed-up’ dengan kehadiran saya berdiri di hadapan meja beliau, borang permohonan saya dan pegawai lain telah dapat disiapkan dalam masa setengah jam sahaja.

Jikalau saya tidak ‘kacau’ kerani tersebut, berkemungkinan saya terpaksa menunggu lama lagi sehingga tawaran GLC itu berakhir.

Borang permohonan tersebut saya bawa ‘by hand’ kepada ketua dan mendapat kelulusan serta-merta.

3) Memilih kerja yang disukai sahaja

Setengah kakitangan hanya mahu kerja mudah dan relax, tak mahu bersengkang mata memikir cara menyelesai masalah atau dibebankan dengan kerja yang berat.

Mereka semua mahu gaji besar, kerja mudah dan stabil, cuti panjang, tidak stress dan balik ke rumah on time sahaja setiap hari.

Fahami bahawa pengalaman kerja hanya boleh dicapai dengan ‘blood, sweat and tears’.

Tiada pengalaman yang datang bergolek tanpa anda bersusah payah mendapatkannya.

Itu sebab ada pegawai senior berpangkat gred 48 maupun gred 54 tetapi gerun dan tak sanggup memikul tanggungjawab setaraf jawatan masing-masing.

Ini kerana semasa zaman sebagai junior officers, mereka bekerja dalam jawatan yang mudah, tidak pernah susah menyelesaikan masalah, suka tolak kerja kepada orang lain dan tiada berusaha untuk meraih pengalaman kerja semasa usia muda.

Saya nasihatkan pegawai muda agar berusaha memperoleh pengalaman, pegang berbagai jawatan, terima atau sukarela untuk melaksanakan kerja susah dan berat.

Jangan asyik pegang kerja mudah, dan kalau boleh gigihlah belajar dari pegawai atasan yang berpengalaman.

Di zaman muda anda seperti getah, boleh ditarik tidak putus dan sentiasa bersedia untuk mendapat ‘baptism of fire’.

Insya-Allah jika sudah bergred 48 nanti, anda sudah tidak gentar dengan apa-apa tanggungjawab yang diberikan.

4) Asyik coffee break dan suka curi waktu.

Komplen mengenai penjawat awam yang tak habis-habis dengan coffee break adalah legenda Malaysia.

Dari mula saya masuk kerja hingga bersara pilihan, perangai tersebut tidak pernah berubah.

KSN silih berganti, berbagai panduan diberikan tetapi legenda coffee break penjawat awam tetap tak berubah.

Masuk kerja punch-clock in 8 am, 8:30 am sarapan luar ofis sehingga 9:30 am, 12 pm-2 pm rehat, 3.30 pm-4 pm coffee break lagi. 5 pm punch-clock out.

Akhir bulan ambil gaji tanpa rasa bersalah.

Begitulah perangai segelintir penjawat awam saban hari.

Ya, bukan semua berperangai demikian tetapi masih menjadi amalan lumrah oleh sekumpulan kecil penjawat awam.

Sebenarnya bos atasan tidak peduli kerana ramai dari mereka pun berperangai sedemikian.

Pernah semasa zaman bekerja, Menteri Kerja Raya Samy Vellu telah mengunci pintu kantin pada jam 2:30 pm ketika ramai staf masih berborak sambil makan minum.

Mereka terkunci di dalam selama satu jam dan nama mereka dipampang dalam ‘hall of fame’.

Kantin kosong selepas 2 pm tiada berpenghuni selepas tragedi tersebut.

Tetapi tiga bulan kemudian, kantin dipenuhi semula selepas 2 pm seperti biasa.

Samy Vellu pun agaknya sudah ‘gibab’ dengan perangai penjawat awam kaki lepak.

Adakah legenda coffee break penjawat awam Malaysia akan berakhir?

Kiamat akan berlaku dahulu pada hemat saya.

5) Kaki tuang kerja

Semasa berkelana di Jakarta, saya memanggil teksi Uber untuk mengelilingi kota.

Supir yang membawa saya mengaku bekerja di Kantor Kerajaan. Beliau bekerja part time membawa teksi pada waktu kerja.

“Pak, Ketua Kantor tak bising bila dapati bapak tidak ada di kantor?” tanya saya.

“Oh beres Pak, Ketua Kantor beri kebenaran, tetapi akhir bulan kena bagi dia sedikit ongkos” jawab beliau tanpa rasa bersalah.

Begitulah apabila tuang kerja dan rasuah sudah menjadi satu budaya.

Di negara kita budaya tuang kerja masih belum pandemik atau pun endemik tetapi masih ada kakitangan kerajaan yang kaki ponteng kerja.

Semasa waktu bekerja mereka hilang untuk membuat kerja part time menjual produk MLM, atau berada di kaunter BSKL bermain saham margin. Mereka pulang ke pejabat untuk punch-clock out sahaja.

Kaki golf pula akan berada di padang golf pada jam 3 pm untuk bermain 9 hole, walaupun pada waktu bekerja.

Amma ba’du.

Pucuk pangkal semua di bahu Ketua Jabatan untuk menyelenggara staf masing-masing.

Jika ketua lepas tangan, maka orang bawah tentunya berkeliaran seperti tikus yang ketiadaan kucing.

Mereka tahu bahawa tersangat susah untuk membuang kerja seorang penjawat awam, yang penuh dengan prosedur dan mengambil masa panjang.

Moral of the story.

“Jika anda beranggapan bahawa pekerjaan itu satu ibadah dan amanah dari Allah, tentunya anda akan menjadi seorang pekerja yang terbaik” kata orang Parit Jawa.

Wallahua’lam.

Ir.Hj.Zainuddin.Bin.Hj.Omar
FB: zainuddin omar

* gambar semasa menjadi Ketua Jabatan sebuah pejabat Kerajaan.

BACA: Tak Berani Tukar Kerja Kerajaan Sebab Takut Gaji Turun, Lelaki Ini Kongsi Cara Mohon Pelarasan Gaji