
Perang Russia-Ukraine: 3 Impak Yang Dijangka Berlaku Kepada Pemilik Perniagaan Di Malaysia
Golongan usahawan atau mereka yang memiliki perniagaan di Malaysia dijangka akan turut terkena tempias dari kesan perang Russia-Ukraine.
Tidak kira usahawan kecil atau sederhana mahupun mereka yang berniaga gerai atau secara ‘online’, kesan peperangan ini sedikit sebanyak boleh memberi kesan kepada semua perniagaan.
Oleh itu, setiap usahawan harus sentiasa cakna dan bersedia bagi menghadapi ‘angin depan’ atau headwind yang kini sudah pun mula melanda.
Ini yang cuba dijelaskan oleh tokoh kewangan terkemuka, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusof yang telah membuat satu perkongsian menarik mengenai hal ini melalui akaun Facebooknya, Nik Hasyudeen.
Semoga perkongsian ini dapat sama-sama membantu golongan usahawan di Malaysia untuk bersedia menghadapi sebarang kemungkinan pada masa depan sekiranya peperangan ini berlanjutan.

Angin depan (headwind) yang perlu diperhatikan oleh usahawan
Tindakan-tindakan yang diambil oleh Amerika, Eropah dan Russia akibat dari pencerobohan Russia ke atas Ukraine akan memberi kesan ke atas perniagaan di sini. Di antara sebab-sebabnya:
1) Kenaikan harga komoditi seperti minyak dan bahan galian. Ini sudah pun berlaku apabila harga minyak mentah dunia sudah pun mencecah lebih USD 120, satu tahap yang tidak pun terbayang oleh kita apabila Covid-19 muncul lebih 2 tahun dahulu. Harga minyak sawit mentah pun sudah melebihi RM 8,000 setan.
Kenaikan harga komoditi ini akan meningkatkan lagi harga barangan lain. Kita ambil contoh ayam, apabila harga minyak kapal naik, kos impot bahan makanan ayam pun naik. Banyak mana lagi kerajaan nak subsidikan atau menekan harga yang membawa kerugian kepada penternak?
Walaupun harga minyak di pam disubsidikan (RON 95, RON 97 dan diesel) tambahan pendapatan kerajaan hasil dari dividen Petronas dan cukai kena digunakan untuk menambah subsidi juga. Berpusing-pusing di situ sahaja duit minyak kita.
Kalau harga minyak kelapa sawit kekal tinggi, bagaimana pula dengan kos makanan yang dihasilkan dengan bahan-bahan yang berasaskan minyak berkenaan?
2) Gangguan bekalan dan rantaian bekalan. Walaupun mungkin tidak banyak perniagaan kita yang berurusan secara langsung dengan Russia atau pun Ukraine, kesan sampingan dari pelbagai sekatan yang sedang dilaksanakan akan tempias ke sini juga.
Contohnya, syarikat penerbangan kena menyusun semula jalan-jalan yang boleh dilalui oleh kapal terbang masing-masing kerana kapal terbang Amerika, Eropah dan beberapa negara lagi tidak boleh memasuki ruang angkasa Russia dan sebaliknya. Ini menyebabkan kos akan naik di samping kenaikan harga bahan bakar kapal terbang. Akhirnya harga tiket akan meningkat dan kos kargo juga akan turut naik.
3) Kedua-dua perkara di atas akan meningkatkan kos perniagaan dan mengurangkan permintaan ke atas barangan dan perkhidmatan. Ini akan memberi kesan ke atas pemulihan ekonomi negara yang diharapkan pulih ke tahap pra-pandemik pada tahun ini. Di dalam masa yang sama, kenaikan harga akan memaksa bank pusat menaikkan kadar faedah. Walaupun OPR dikekalkan pada tahap 1.75%, ianya mungkin naik sekiranya kadar inflasi semakin tinggi.
Peperangan siber di antara Russia dan Amerika serta sekutu-sekutunya boleh juga berlaku secara senyap. Apabila platfom-platfom yang kita gunakan terkesan, ini boleh juga menjejaskan operasi perniagaan kita di sini.
Mana-mana usahawan kena memandang ke hadapan. Perniagaan kena disediakan untuk terus berjalan di dalam pelbagai keadaan. Oleh kerana ekonomi ini amat terbuka dan kita amat bergantung kepada eksport, perkembangan luar negara akan memberi kesan ke atas tahap ekonomi di sini.
Oleh itu, sebarang angin depan akan memberi kesan ke atas perniagaan kita. Jika kita tidak bersedia, segala usaha untuk memulihkan kembali perniagaan yang terjejas disebabkan pandemik Covid-19 mungkin tidak memberikan hasil seperti yang diharapkan.
BACA: Walaupun Selalu Jadi ‘Jahat’ Dalam Filem-Filem Hollywood, Kenapa Ramai Masih Sokong Russia?
Sumber: Nik Hasyudeen