
Perak Negeri Pertama Lancar Pawagam Pandu Masuk Di Malaysia
Perak menjadi negeri pertama di Malaysia yang melancarkan pawagam pandu masuk yang dikenali sebagai Casuarina Sini-drive bermula semalam.
BACA: Tonton Dari Dalam Kereta, Wayang Konsep ‘Drive-In’ Pertama Bakal Dibuka Di Malaysia
Berlokasi di Downtown Meru, pawagam ini boleh memuatkan sebanyak 70 buah kenderaan dalam satu-satu masa adalah hasil inisiatif bersama Perak Corporation Berhad (PCB).
Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, ilham mewujudkan pawagam ini bermula daripada pengalaman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mana penjarakan sosial menjadi sesuatu yang perlu semua amalkan.
Dalam masa yang sama, pembinaan pawagam ini dijangka akan membantu memulihkan kembali sektor pelancongan Perak yang terkesan teruk ekoran wabak pandemik yang melanda dunia.
Daam pelancaran semalam, turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi dan Ketua Pegawai Eksekutif PCB, Zainal Iskandar Ismail.
Dengan harga tiket serendah RM36 hingga RM42 untuk setiap kenderaan, tempahan boleh dilakukan secara dalam talian di SINI-DRIVE.
Dengan skrin berkeluasan 6×18 meter, setiap penonton akan diberikan satu frekuensi khas yang mana audio daripada filem dapat didengar terus dari radio kenderaan masing-masing.
Dibuka setiap hari (kecuali Isnin) bermula hari ini (18 Julai), waktu tayangan adalah bermula dari jam lapan malam hingga 11 malam.
Sekiranya mendapat sambutan yang meggalakkan, Ahmad Faizal memberitahu pawagam pandu masuk ini berkemungkinan akan dibuka di Kuala Kangsar dan Kampar.
Sumber: BH