
Penyokong Liga Jerman Guna Figura Kadbod Meriahkan Stadium Kosong Sebagai Tanda Sokongan
Penyokong Liga Jerman guna figura kadbod memeriahkan stadium kosong sebagai tanda sokongan.
Sejak pandemik COVID-19 menular di seluruh dunia, antara yang terkesan pastilah perlawanan bola sepak kerana melibatkan pelbagai pihak.
Hal ini telah mengubah landskap perlawanan bola sepak yang sepatutnya berjalan tetapi telah digantung sementara waktu atau dibatalkan. Buat masa ini, hampir keseluruhan liga-liga utama di Eropah dan duia digantung perlawanan. Begitu juga dengan kejohanan utama seperti EURO 2020 dan juga Sukan Olimpik Tokyo yang telah diumumkan tunda ke tahun hadapan.
Namun, masih ada juga liga-liga utama Eropah yang tetap meneruskan perlawanan dalam masa terdekat tetapi syaratnya perlu bermain di stadium tanpa penyokong. Segelintir para pemain pasti berasa janggal kerana sekeliling stadium kosong tanpa sorakan penyokong, dan ia juga turut melibatkan emosi untuk kekal bersemangat sehingga tamat perlawanan.
Bagaimana ingin memberikan sokongan kepada pasukan kesayangan jika tidak dibenarkan masuk ke dalam stadium ataupun berada di sekitar perkarangan bangunan berkenaan?
Tidak menjadi masalah kepada penyokong Borussia Moenchengladbach, salah sebuah kelab utama liga Jerman (Bundesliga) apabila mereka mencari cara inovatif untuk menaikkan semangat kelab mereka tatkala pandemik Covid-19 menghalang kehadiran penyokong ke stadium.
Borussia Mongchengladbach telah memperkenalkan kempen ‘Stay at home. Be in the stands’, yang menyaksikan mereka memberi peluang kepada penyokong untuk meletakkan potongan kadbod figura mereka di tempat duduk dalam stadium.
Dengan bayaran hanya 19 euro (RM90) penyokong Borussia Moenchengladbach boleh meletakkan gambar mereka di kadbod seterusnya diletakkan di kerusi tempat duduk penonton.

“Kami sudah mendapat 6,500 tempahan. Ia sangat mengejutkan dan kami tidak pernah menjangkakan perkara ini,” kata Pengerusi Fanprojekt Moenchengladbach (FPMG) Thomas Ludwig.
Pemain sayap Gladbach, Patrick Herrmann berkata, gambar penyokong yang tertera di tempat duduk penonton menaikkan semangat mereka untuk berlatih di Borussia Park.
“Ini merupakan idea yang sangat baik. Saya sudah melihat banyak potongan kadbod mula memenuhi tempat duduk stadium. Ia memberikan gambaran kami tidak berseorangan dan sentiasa ada,” jelas penjaga gol Borussia Monchengladbach, Yann Sommer.
Bagi mempersiapkan diri untuk penyambungan semula saingan, 18 kelab Bundesliga kembali berlatih selama tiga minggu.
Sumber: Barrons
Trending now



