
Penyertaan Kelas Silat Dan Jualan Tanjak Meningkat Selepas Tonton Filem Mat Kilau
Filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan kini menjadi salah sebuah topik yang tular. Setakat seminggu tayangan filem ini di pawagam, ia sudah mencatat kutipan melebihi 23 juta.
Bukan itu sahaja, ia menjadi kejayaan besar apabila filem epik mengenai pahlawan Melayu itu berada senarai teratas walaupun dibarisi dengan tayangan filem antarabangsa.
Penyertaan silat meningkat
Filem Mat Kilau juga dilihat telah mencetuskan fenomena luar biasa apabila dilaporkan peningkatan penyertaan anak-anak muda dalam persatuan silat.
Memetik sumber Harian Metro, Naib Pengerusi Persatuan Seni Silat Gayong Malaysia (PSSGM) Daerah Jempol, Ahmad Shafiq Zulkifli mengakui pihaknya banyak menerima pendaftaran semenjak filem Mat Kilau mendapat sambutan luar biasa dari orang ramai.
Sejak tiga hari lalu, pihaknya menerima pendaftaran lebih 40 pelajar baharu yang mahu belajar seni mempertahankan diri itu, selepas didorong oleh ibu bapa mereka.
“Ia cukup luar biasa memandangkan sebelum ini kami hanya menerima empat atau lima pelajar dalam tempoh setahun. Impak dicetuskan filem berkenaan menyebabkan ada ibu bapa yang mahu anak-anak mereka belajar silat.
“Sebelum ini, silat kurang mendapat sambutan berikutan ada yang mendakwa ia hanya sekadar seni bela diri kampung, namun tayang filem itu telah mengubah persepsi orang ramai,” katanya.
Katanya, pengaruh silat yang dipamerkan dalam filem berkenaan yang memaparkan semangat juang yang tinggi, pembawaan watak persilatan, adab orang Melayu dan junjungan agama Islam yang tinggi sangat memberi impak khususnya kepada ibu bapa.
Penangan filem itu juga turut memberi impak kepada jualan tanjak. Dapat dilihat, ramai penonton lelaki hadir ke pawagam memakai tanjak sekali gus membantu mempopularkan pemakaian busana Melayu itu.
Salah seorang penjual tanjak mengakui jualannya meningkat sehinggakan perlu membuka kedai pada waktu cuti atas permintaan pelanggan.
Sumber: Utusan TV, Harian Metro