Penyelidik Tempatan Hasilkan Inovasi Kesan Kebocoran Karbon Monoksida Dalam Kenderaan

Kesan Karbon Monoksida Keretaa
Sumber: BH

Penyelidik Hasilkan Inovasi Kesan Kebocoran Karbon Monoksida Dalam Kenderaan.

Ketika ini, ramai menumpukan perhatian terhadap isu tidur di dalam kereta susulan insiden empat sekawan yang mana tiga daripadanya meninggal dunia dipercayai akibat keracunan karbon monoksida ketika tidur di dalam kereta, dengan cermin tingkap tertutup.

Menurut Public Health Malaysia (PHM), karbon monoksida adalah pembunuh senyap. Keracunan karbon monoksida boleh terjadi walaupun dalam kuantiti yang sedikit dan ia adalah punca utama kecederaan dan kematian akibat keracunan di seluruh dunia.

PHM turut menjelaskan salah tanggapan masyarakat yang mengaitkan tidur di dalam kereta dengan membuka sedikit tingkap adalah lebih selamat.

“Kereta kita mungkin tidak kedap udara dan bahan ini boleh meresap masuk ke dalam kereta,” katanya.

Ekoran itu, sekumpulan penyelidik di Politeknik Kota Bharu (PKB) berjaya menghasilkan inovasi yang dapat mengesan kebocoran gas karbon monoksida di dalam kenderaan.

Sistem itu dipanggil ‘Vehicle Carbon Monoxide Detector (VCOD) yang akan menghasilkan isyarat penggera mengaktifkan tingkap kenderaan untuk terbuka sebanyak empat inci (kira-kira 10 sentimeter). apabila gas itu melebihi tahap bahaya untuk manusia berada dalam kenderaan berkenaan.

Ketua Penyelidik, Mohd Zulkafli Mohamed berkata, jika kepekatan karbon monoksida melebihi tahap ditetapkan, output akan mencetuskan untuk tingkap kenderaan terbuka secara automatik dengan bagi membenarkan gas itu keluar dari kabin kenderaan.

“Output sekali lagi akan mencetus dan melancarkan tingkap kenderaan secara automatik dengan mengaktifkan kuasa motor untuk dinaikkan semula selepas gas itu tidak lagi berada pada paras bahaya bagi mengelakkan keracunan karbon monoksida di dalam kenderaan.

“Rasional sistem ini dibangunkan ialah ramai pemandu suka tidur atau terpaksa melelapkan mata di dalam kenderaan disebabkan faktor masa dan keadaan tidak mengizinkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Kesan Karbon Monoksid Keretaa

Raih pingat emas

Beliau turut memaklumkan, hasil penyelidikan itu meraih pingat emas pada Pertandingan Inovasi Proton-Politeknik 2019 (PiPPo 2019) yang diadakan pada Ogos lalu.

Katanya, inovasi itu dihasilkan dengan kerjasama Proton Holdings Berhad bertujuan membangunkan teknologi inovasi dalam bidang ‘Safety and Security’ untuk kegunaan bidang automotif pada masa depan.

Beliau berkata, melalui usaha sama itu, pihak Proton menyumbangkan sebuah kereta jenis Proton Suprima untuk digunakan dalam kerja penyelidikan membangunkan teknologi inovasi terbabit.

Sumber: BH