
Penjualan Kad Touch ‘n Go Dengan Teknologi NFC ‘Buka Lubang’ Perbuatan HARAM
Sejak kad Touch ‘n Go yang dilengkapi dengan teknologi near-field communication (NFC) dilancarkan, jualannya memang ‘laku keras’.
Hinggakan ketika ini, memang agak sukar untuk mendapatkannya di mana-mana kerana sering kali dikatakan telah kehabisan stok.
Keadaan ini telah membuka ruang untuk pihak yang tidak bertanggungjawab untuk membuat jualan kad Touch ‘n Go NFC secara ihtikar yang diharamkan di dalam Islam.
Ustaz Dr Ahmad Irfan Ikmal Hisham mengupas isu ini melalui hantaran di Facebooknya berikut:
Penjualan Kad Touch ‘n Go dengan teknologi NFC boleh mengundang kepada perbuatan HARAM.
Saya, sama seperti warga negara Malaysia yang lain, adalah pengguna kad Touch ‘n Go dalam banyak urusan peribadi dan kerja. Secara paksarela, kerana tiada pilihan, kami terpaksa guna juga kad ini, walaupun dengan beberapa keterbatasan yang menyusahkan pengguna seperti:
- Untuk top up, perlu pergi ke stesyen tertentu.
- Sukar untuk top up, banyak stesyen top up kerap offline.
- Di LPT, banyak petrol pump tidak boleh top up Touch ‘n Go dalam MyKAD. Diskriminasi teknologi apa ni ya?
- Pilihan yang ada, RFID, terbukti teknologi yang gagal dan menyusahkan pengguna. Setelah bertahun-tahun, masih tiada penambahbaikan.
Apabila Touch ‘ Go memperkenalkan kad generasi baru yang dikuasakan dengan fungsi NFC, saya amat teruja. Dengan teknologi ini, tidak perlulah kami bersusah payah mencari tempat untuk top up kredit, atau akhirnya terpaksa top up di lane kiri di setiap plaza tol. Hanya memadai dengan top up dengan tap kad di telefon bimbit menerusi aplikasi Touch ‘n Go sahaja.
Tetapi, setiap kali ingin membeli kad ini, kami sebagai pengguna sekali lagi kecewa, kerana:
- TIADA STOK. Alasan diberikan, kerana masalah pembekalan cip.
- Ada stok, tetapi dijual dengan harga yang melampaui batas.
Saya difahamkan, stok kad Touch ‘n Go ini akan ada dalam masa terdekat. Jangan terkejut apabila beberapa minit selepas kad ini dijual, stok akan habis. Saya syak, ia diborong oleh sekumpulan manusia tertentu, untuk dijual pula dengan harga yang mahal.
Bayangkan, harga asal RM10 akhirnya dijual dengan harga RM70-RM150, hingga 1500% daripada harga asal. Ramai reseller yang jual di Shopee dan seumpamanya.
Ini merupakan salah satu contoh jual beli yang diharamkan dalam Islam, dikenali sebagai ihtikar. Mungkin ada yang berbeza pandangan, tetapi realiti sebenarnya ialah:
- Di saat kad Touch ‘n Go menjadi satu keperluan asasi bagi masyarakat moden di Malaysia.
- Di saat teknologi kad baru memudahkan pengguna untuk menyelesaikan isu top up yang masih GAGAL dipermudahkan urusannya, hanya dengan tap kad dengan telefon bimbit.
- Di saat harga yang ditawarkan untuk membeli kad ini ialah RM10 sahaja, mampu milik…
tetapi ada pihak menangguk di air yang keruh. Inilah contoh ihtikar di zaman moden.
Ihtikar bermaksud, menyembunyikan atau memonopoli stok barang keperluan bagi menaikkan harga barangan tersebut, dan hanya akan menjual dengan harga yang lebih mahal. Perbahasan ihtikar adalah panjang, saya akui. Khilaf dalam pentakrifan ihtikar pun panjang juga. Perbuatan tersebut haram, tetapi jual belinya sah.
Inilah yang berlaku dengan kad Touch ‘n Go NFC baru ini. Ramai yang membeli secara pukal, menyorok, dan menjualnya dengan harga yang membebankan.
Saya hargai tindakan Touch ‘n Go menyenaraikan beberapa premis stesyen minyak yang mempunyai stok kad tersebut untuk dijual. Saya bersegera pergi ke salah satu stesyen yang dinyatakan. Apabila saya tanya di kaunter, jawapan pertama staf (sambil memandang sesama mereka) ialah kad itu dah habis.
Tetapi apabila saya minta kepastian mereka berdasarkan rekod dalam sistem, stok sepatutnya masih ada, maka salah seorang staf mereka menjawab, nanti saya semak semula. Lalu dia pergi ke bilik pejabat kecil di belakang, dan membawa sekeping kad Touch ‘n Go NFC. Saya segera membelinya, sambil terdetik ada cubaan ihtikar ke ni?
Ihtikar, kalau berlaku dalam kad Touch ‘n Go NFC, adalah haram, menyusahkan pengguna, melahirkan masyarakat yang hanya PENTINGKAN diri sendiri, tiada integriti, zalim dan mudah-mudahan segera bertaubat.
BACA: Gerenti Dapat ‘Detect’, Ini Cara Tampal Pelekat RFID Yang Paling ‘Win’ Setakat Ini
Sumber: Ahmad Irfan Ikmal Hisham
Trending now



