
Penjenamaan Semula Hari Sukan Negara Kepada MySC Seolah Rendahkan Bahasa Kebangsaan
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steve Sim mengumumkan pertukaran nama ‘Hari Sukan Negara’ (HSN) kepada ‘Malaysia Sports Challenge’ 2019 (MySC) yang akan berlangsung selama sebulan Oktober depan.
Katanya, ia bertujuan memperluaskan capaian program itu yang merupakan inisiatif terbaharu KBS dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan.
Beliau berkata penggunaan nama dalam bahasa Inggeris itu mampu meningkatkan lagi prestij program berkenaan, bukan sahaja dalam kalangan penggiat sukan tempatan, malah turut melibatkan sektor sukan antarabangsa.
“Kita ada banyak syarikat jenama sukan antarabangsa yang mempunyai pasaran di sini dan kita ingin menarik perhatian dan juga penyertaan mereka dalam aspek ini.
“Saya rasa tiada masalah kerana inti patinya masih lagi Malaysia, penganjurnya Malaysia dan pesertanya juga orang Malaysia.
“Tidak kira apa jenama atau bahasanya, saya rasa orang Malaysia tidak janggal untuk berhadapan dengan penggunaan bahasa itu,” jelasnya.

Namun tindakan KBS menukar nama itu dianggap tidak wajar oleh netizen kerana seolah-olah merendahkan bahasa kebangsaan. Rata-rata menganggap nama asal lebih baik untuk menggambarkan kempen yang dijalankan.

Begitu juga dengan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) yang berpandangan setiap program rasmi kerajaan sepatutnya menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
“Malaysia Sports Challenge boleh saja disebut Cabaran Sukan Malaysia atau Tantangan Sukan Negara atau sebarang nama lain,” kata Dr Mohamad Saleeh Rahamad selaku Presiden PENA.
Tidak ketinggalan juga, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyindir kementerian dengan menyatakan bahawa ia memperlekehkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang telah termaktub dalam perlembagaan.
Kita semakin hampir untuk menyambut ulang tahun Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September ini, sepatutnya kita mempertahankan kedudukan bahasa Melayu dalam perlembagaan tanpa menafikan kepentingan menguasai bahasa lain.
Sumber: FMT, Malaysia Kini