
Penjelasan Isu Hak Cipta Lagu Taylor Swift Dengan Bekas Pengurus Muzik, Scooter Braun
Drama penyanyi pop global Taylor Swift bermula lagi, namun pada kali ini melibatkan bekas pengurus muzik, Scooter Braun.
Ahad lalu, penyanyi lagu Me! itu meluahkan rasa sedih di akaun Tumblr miliknya apabila keseluruhan album lagu sejak awal kariernya hingga Reputation (2017) sepanjang berada di bawah label Big Machine Record yang akan menjadi milik Scooter.
Taylor memulakan kariernya sebagai anak seni di bawah label tersebut sehingga November tahun lalu apabila dia menamatkan kontrak dan masuk di bawah label Universal Music.
Luahan Swift itu membuatkan penyanyi Justin Bieber mendakwa tindakannya yang dilihat tidak matang apabila menggunakan media sebagai platform untuk mendapatkan simpati orang ramai.

Menurutnya, Swift menimbulkan semula pertelingkahan berpanjangan mereka dengan menyerang pengurusnya, Scooter Braun yang membeli banyak hak cipta album-album platinum milik penyanyi wanita itu.
“Bagi anda meletakkan ia ke dalam media sosial dan membuatkan orang membenci Braun adalah tidak adil,” katanya dalam akaun Instagram.
Swift memberitahu, dia sengsara beberapa tahun dengan ‘pembelian manipulatif’ oleh Braun yang merupakan pemain utama industri yang menerajui Ithaca Holdings.
Syarikat itu telah membeli Big Machine Label Group yang mengeluarkan tujuh album awal Swift. Dia juga mendakwa dia tidak pernah ditawarkan untuk membeli hak cipta album lamanya termasuk Fearless dan 1989.
Isteri Scooter mengeluarkan kenyataan di laman Instagram untuk mempertahankan suaminya.
“Scooter sudah pernah beri peluang untuk kamu menjadi pemilik lagu-lagu kamu tetapi kamu tidak mengambil peluang itu. Dan apa maksud kamu yang suami saya seorang pembuli?
“Sepanjang hidupnya, dia sering mempertahankan dan membantu orang lain yang dia percaya,” tulisnya.
Sebab Swift tidak dapat haknya
Menerusi kontrak yang dibuat oleh Swift bersama Big Machine pada 2005, label tersebut mempunyai hak ke atas rakaman miliknya sebagaimana standard untuk sebahagian besar persetujuan label dan artis. Selama bertahun-tahun, Swift menyatakan telah berusaha untuk mendapatkan pemilikan lagunya namun masih tidak menemui jalan penyelesaiannya.
Swift mengatakan bahawa Big Machine telah menawarkan perjanjian yang mana dia akan menerima hak kesemua album sebelumnya.
Sumber menyatakan, dalam perjanjian tersebut mempunyai dua pilihan untuk penjualan hak cipta kepada Swift, namun kedua-duanya ditolak. Sementara itu, Swift menyatakan tiada rundingan dibuat yang memberi manfaat kepadanya.
Sebab Scooter Braun ingin memiliki Big Machine
Memetik laporan Variety, Big Machine memiliki beberapa aset besar termasuk lagu-lagu hit milik Florida Georgia Line dan Lady Antebellum di samping enam album Swift. Seorang eksekutif dalam industri muzik berpendapat bahawa, “Jika kau menguasai konten, maka kau menang.”
Masalah seperti ini dilihat seakan sama seperti yang dihadapi oleh seniman negara kita, Tan Sri P.Ramlee. Isu seperti ini membuatkan kita terfikir dengan kredibiliti industri muzik pada masa kini. Adakah artis mendapat royalti yang setimpal terutama bagi artis yang menulis lagu sendiri?
Diharapkan isu Swift dengan bekas pengurus muziknya dapat diselesaikan dengan cara baik.
Sumber: CNN