
Penjawat Awam Kantoi Palsukan Surat Kebenaran Rentas Negeri Untuk Beraya
Seorang penjawat awam bersama keluarganya tidak dibenar meneruskan perjalanan pulang ke Putrajaya selepas didapati memalsukan butiran pada surat kebenaran merentas negeri yang dikeluarkan sebelum ini.
Lelaki berusia lingkungan 40-an dan bekerja sebagai kerani itu dipercayai berbuat demikian untuk membolehkan mereka tinggal lebih masa di kampung keluarganya di sini bagi menyambut Aidilfitri.
Difahamkan, dia dan keluarga dibenar pulang ke Kedah sebelum ini dan sepatutnya kembali ke Putrajaya pada 17 Mei lalu, namun meminda tarikh yang tertera pada surat kebenaran kepada Isnin (25 Mei).
Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob, tindakan lelaki itu dikesan apabila dia datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang untuk memohon surat kebenaran pergerakan rentas negeri dari Pendang ke Putrajaya.
Beliau berkata, anggota bertugas mengesan sesuatu mencurigakan pada surat kebenaran dikeluarkan dari Putrajaya, sebelum semakan dilakukan mendapati tarikh tertera sudah diubah.
“Lelaki itu bersama isteri dan dua anak mereka pulang ke Pendang dengan alasan untuk menghantar ubat kepada bapanya. Isnin dia datang ke IPD Pendang untuk memohon surat kebenaran rentas negeri ke Putrajaya.
“Bagaimanapun anggota polis yang memeriksa surat kebenaran yang dikeluarkan oleh polis Putrajaya sebelum ini, mengesan sesuatu yang mencurigakan sebelum menghubungi mereka untuk mendapatkan pengesahan.
“Anggota itu kemudian mendapati, terdapat perbezaan tarikh pada surat berkenaan. Suspek sepatutnya pulang ke Putrajaya pada 17 Mei lalu, tetapi tarikhnya dipercayai sudah diubah kepada semalam,” katanya.
Zainuddin berkata, lelaki terbabit dan keluarganya tidak dibenarkan pulang ke Putrajaya sehingga siasatan kes itu mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan kerana pemalsuan dokumen, selesai.
Penjawat awam tersebut bakal berhadapan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika disabit bersalah.
Dalam pada itu, Zainuddin mengingatkan semua penjawat awam yang mereka boleh diambil tindakan sekiranya didapati merentas negeri tanpa kebenaran dan melanggar undang-undang serta prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Sumber: BH