
Pengguna Media Sosial Bebas Muat Naik Video Tanpa Perlu Lesen FINAS
Semalam heboh diperkatakan mengenai semua jenis penggambaran filem memerlukan lesen kebenaran daripada pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) termasuklah dalam kalangan pengguna media sosial.
BACA: Semua Jenis Penggambaran Perlu Dapatkan Lesen FINAS, Termasuklah Untuk Media Sosial
Jelas, kenyataan yang dikeluarkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah itu telah menimbulkan kemarahan netizen.
Dalam kenyataan terbaharu, Saifuddin menjelaskan ketika soalan daripada Ahli Parlimen Kluang dijawab, beliau hanya menerangkan mengenai undang-undang yang sedia ada yang telah digunakan selama ini, Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 [Akta 244] yang diluluskan Parlimen pada tahun 1981.
“Pada 1981, teknologi pada masa itu tiada langsung media sosial seperti Tik Tok, YouTube dan sebagainya. Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) ambil maklum bahawa Akta ini perlu penambahbaikan.
Ini telah pun saya nyatakan dalam sidang media Kad Laporan 100 hari saya sebagai Menteri KKMM pada 20 Jun 2020, iaitu KKMM sedang menilai semula semua undang-undang di bawah pengawasannya.
Perlu ditegaskan bahawa kerajaan PN tidak pernah dan tidak berniat menggunakan Akta ini untuk menyekat kebebasan peribadi individu dalam media sosial, iaitu fenomena yang tidak wujud ketika Akta ini digubal.”
Oleh yang demikian, beliau meminta agar orang ramai menyalurkan pendapat kepada KKMM dalam memperbaiki Akta tersebut supaya bersesuaian dengan kehendak semasa.

Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Ahmad Idham Ahmad Nadzri turut menjelaskan tiada arahan dikeluarkan kepada pengguna platform media sosial seperti YouTube, Instagram dan TikTok untuk memohon Lesen Pengeluaran Filem dan Surat Perakuan Penggambaran (SPP) seperti yang ditularkan semalam.
Terdahulu, FINAS menjelaskan Al Jazeera International (Malaysia) Sdn Bhd (Al Jazeera) tidak mempunyai lesen pengeluaran filem untuk penerbitan dokumentari berjudul Locked Up in Malaysia’s Lockdown.
Pengarah Urusan Al Jazeera bahasa Inggeris telah mengeluarkan kenyataan balas bahawa berdasarkan definisi FINAS, program hal ehwal semasa mingguannya, 101 East tidak termasuk dalam kategori filem yang memerlukan lesen.
Sumber: Berita Harian