Majoriti

Pengeluaran Simpanan KWSP – Betul Ke Akan Sebabkan Bank Susah Nak Bagi ‘Loan’ Pada Masa Akan Datang?

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Ramai yang melonjak gembira setelah mendengar pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

Setelah sekian lama menanti bagai sebuah misteri, akhirnya pengeluaran khas sehingga RM10,000 dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini dibenarkan kepada pencarum.

Cahaya Aidilfitri juga kian bersinar apabila KWSP telah mengeluarkan kenyataan bahawa pengeluaran tersebut boleh dibuat oleh pencarum mulai 1 April sehingga 30 April ini.

RM10,000 ini sudah tentu bukan sahaja boleh digunakan oleh mereka yang terdesak untuk meneruskan kelangsungan hidup, namun juga oleh ramai yang dah berangan-angan nak shopping macam-macam.

Namun, timbul pula khabar yang kurang enak didengar apabila ada yang mendakwa pengeluaran khas dari simpanan KWSP ini boleh meninggalkan kesan yang buruk kepada pencarum.

Sesiapa yang mengambil peluang untuk membuat pengeluaran KWSP kali ini akan dikategorikan sebagai mempunyai “masalah kewangan” oleh pihak bank.

Mereka yang dilabel dalam golongan yang mempunyai masalah kewangan ini pula sudah tentu dianggap tidak stabil dari segi kewangan.

Justeru, kesan buruk ini boleh menyebabkan mereka menemui kesukaran untuk mendapat kelulusan dari pihak bank sekiranya mereka ingin memohon sebarang pinjaman pada masa akan datang.

Itulah yang didedahkan oleh seorang pengguna Twitter, @chiccbi yang membuat ciapan berikut:

Majoriti

“FYI, kalau korang keluarkan duit dari KWSP, bank akan cop korang as financially unstable, walaupun korang keluarkan duit itu saja-saja untuk shopping dan tak ada masalah kewangan pun sebenarnya. Dan bank susah nak bagi loan dekat orang yang ada masalah kewangan,” jelas beliau dengan penuh yakin.

Portal berita Majoriti telah mendapatkan kepastian mengenai hal ini dengan menghubungi Pensyarah Putra Business School Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Abu Sofian Yaacob.

Majoriti

Menurutnya, dakwaan pengguna Twitter yang agak melampau confident tersebut adalah tidak tepat kerana institusi kewangan di Malaysia mengamalkan polisi rating kredit kepada para peminjam.

“Institusi kewangan mendapatkan rating kredit seseorang individu menerusi Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS) dan CTOS.

“Mereka akan meneliti maklumat daripada sistem tersebut, termasuklah sekiranya anda ada buat pinjaman di tempat lain atau diisytiharkan bankrap. Kalau rating kredit anda rendah, susah hendak buat pinjaman.

“Bank tidak akan tahu anda mengeluarkan caruman KWSP atau tidak. Apabila anda membuat pinjaman bank, baru bank boleh mengesan rating kredit anda.

“Malahan tiada polisi bank di negara ini melihat pengeluaran KWSP sebagai petunjuk anda tidak layak membuat pinjaman,” jelas Dr Abu Sofian kepada Majoriti.

Beliau turut menyifatkan individu yang menyebarkan maklumat itu mungkin tidak tahu tentang cara sebenar pinjaman bank diluluskan.

Semoga dengan penjelasan ringkas ini, ramailah yang dapat shopping tanpa rasa bersalah selepas ini.

BACA: Pernah Terfikir Daftarkan Anak Sebagai Ahli KWSP? Ini Caranya

Sumber & kredit foto: Majoriti