
Pengasas Bawal Exclusive Hadiahkan Kucing Kesayangan Rantai Emas Berharga RM25,980
Hadiahkan Kucing Kesayangan Rantai Emas Berharga RM25,980 Sempena Ulang Tahun Keempat.
Kucing adalah haiwan peliharaan paling menjadi pilihan ramai. Memelihara haiwan berbulu halus ini dipercayai memberikan banyak manfaat untuk kesihatan fizikal dan mental.
Sama seperti manusia, kucing juga memerlukan kasih sayang kita untuk memastikan kesihatan yang baik.
Seperti pemilik kucing ini sanggup membeli si bulus kesayangan mereka sesuatu yang amat berharga!
Pemilik kucing yang merupakan pengasas jenama tudung Bawal Exclusive, Haliza Maysuri menjadi perhatian netizen apabila memuat naik sebuah video di TikTok menghadiahkan rantai emas kepada kucing kesayangannya.
Menerusi video terbabit, Haliza dan suaminya membawa kucing kesayangan mereka bernama Money ke Habib Jewels di Ampang.
Apa yang mengejutkan ramai, beliau bukan membeli barangan kemas untuk dirinya tetapi telah menempah rantai emas khas bernilai RM25,980 kepada Money.
Rantai emas itu mempunyai loket berbentuk hati dengan nama dan tarikh kelahiran Money diukir padanya.
Haliza turut memaparkan saat-saat menjalankan akad jual beli bersama salah seorang pekerja di kedai emas tersebut.
Menurut laporan Malay Mail, Haliza memaklumkan kucing kesayangan mereka itu dibeli beliau dan suaminya empat tahun lalu dari sebuah kedai haiwan peliharaan.
“Suami saya sangat menyayanginya dan akan membawanya bersama ke trip kerja atau pergi bercuti.
“Hari lahir Money adalah pada 9 Mei, kami mendapatkan rantai emas itu lewat kerana pada ketika itu, negara masih berada dalam PKP.
“Kami mahukan rantai emas buatan khas untuknya dan emas sentiasa menjadi pelaburan yang baik,” ujarnya.
Hadiah ulang tahun Money sebelum ini tidak kurang juga hebatnya – pernah dibelikan kek mahal dan juga memiliki pakaian baharu untuk dipakai setiap hari.
Haliza berkata walaupun dia mempunyai dua lagi kucing peliharaan, Money adalah yang paling rapat dengan mereka dan tidak garang seperti yang lain.
Melihat pada ruang komen, rata-rata netizen turut menumpang gembira buat Money kerana bertuah mendapat tuan yang amat menyayanginya.
@halizamaysuri Hadiah hari jadi Money yang 4 tahun.