
Pengasas AirAsia Bangunkan ‘Aplikasi Super’, Mahu Bersaing Dengan Grab, Gojek
Pengasas AirAsia Bangunkan ‘Aplikasi Super’.
Sedia maklum, syarikat penerbangan antara yang paling terkesan dengan penularan pandemik COVID-19.
Syarikat penerbangan bergelut untuk mengekalkan operasi mereka dan mengelakkan daripada jatuh bankrap kerana penurunan ketara permintaan perjalanan udara telah membawa kepada kapasiti tempat duduk, hasil dan pendapatan yang rendah.
Berikutan itu, dalam usaha menangani penurunan kadar perjalanan udara akibat pandemik itu, pengasas syarikat yang terkenal dengan slogan penerbangan tambang murah AirAsia, Tony Fernandes dilaporkan akan membangunkan sebuah aplikasi super bagi menjana keuntungan.
Dalam temubual bersama BBC, Tony mahukan aplikasi semua dalam satu yang merangkumi perkhidmatan penghantaran makanan, membeli belah dalam talian, pembayaran, hiburan, dan perjalanan itu mampu menyaingi aplikasi lain seperti Grab, GoJek dan juga WeChat.
Fernandes berkata, beliau meneroka kaedah baru untuk menjana pendapatan selepas sekatan akibat COVID-19 menjejaskan industri penerbangan.
AirAsia baru-baru ini melaporkan kerugian bersih RM992.9 juta dalam tiga bulan yang berakhir pada 30 Jun. Penjualan merosot 96 peratus kepada hanya RM119 juta.
Dalam pada itu, beliau menghabiskan masanya ketika kemerosotan untuk memperbaiki aplikasi dan platform pembayaran syarikat, BigPay.
“Saya faham, terma aplikasi super ini mungkin dilihat sebagai bercita-cita tinggi, namun penyedia lain seperti Grab dan GoJek juga bermula kecil sebagai sebuah aplikasi penghantaran makanan dan mobiliti.
“Malah, ramai juga yang bertanya dalam nada yang sama ketika saya memulakan operasi AirAsia,” ujar beliau kepada BBC.
Fernandes berharap, aplikasi AirAsia yang juga menawarkan perkhidmatan pesanan, dapat bersaing dengan aplikasi super seperti Grab yang berpangkalan di Singapura, Gojek Indonesia dan Meituan China.
Terdahulu, kumpulan AirAsia menceburi bidang berasaskan pertanian dengan memperkenalkan platform jualan dalam talian, Ourfarm yang menghubungkan petani terus kepada pelanggan.
BACA: AirAsia Ceburi Bidang Perniagaan Baharu Berasaskan Pertanian Dalam Talian
Sumber: FMT
Trending now



