
Pengajaran Dan Iktibar Dari Kisah Tragedi Adik Rayan
Pemergian Rayan Oram, kanak-kanak lelaki yang terperangkap selama 5 hari di dalam telaga sedalam 32 meter di Maghribi amat menyedihkan masyarakat dunia.
Kisah adik Rayan yang hanya berusia 5 tahun tersebut mendapat perhatian di peringkat global dengan ‘tanda pagar’ ‘#SaveRayan’ menjadi trending ketika pasukan penyelamat bertungkus-lumus berusaha menyelamatkannya.
Namun, operasi penuh debaran tersebut berakhir selepas Rayan yang diberi nama timangan ‘Little Rayan’ oleh warganet tersebut didapati tidak lagi bernyawa walaupun berjaya dikeluarkan.
Tiada siapa dapat dibayangkan bagaimana tubuh kecil kanak-kanak tersebut terpaksa menahan kesakitan, lapar dan dahaga berseorangan di dalam lubang gelap dan sempit sedalam 32 meter selama 5 hari!
Di Malaysia, pemergian Rayan turut mengundang simpati dan ramai netizen melahirkan perasaan sedih dan amat dukacita di platform media sosial Facebook.
Hantaran yang dibuat oleh Mohamad Bin Mohshin berikut sedikit sebanyak memberi kesedaran dan peringatan buat semua.

Pengajaran Dari Adik Rayan Morocco
- Syurga itu mahal. Ia untuk mereka yang kuat sahaja. Budak kecil, tiada kekuatan, tiada akal fikiran waras, diuji Allah terperangkap selama 5 hari di dalam perigi sempit sedalam 30 meter. Anak yang tak punya dosa pun perlu melalui ujian berat ini untuk ke syurga. Maka, apatah lagi kita yang dewasa. Harus lebih kuat, jangan terperangkap dengan nafsu dan syaitan.
- Mati itu benar. Seluruh dunia datang menyelamatkan, mendoakan, memberikan bantuan, namun jika sampai masanya, tiada siapa mampu menghalangnya.
- Kasih sayang itu benar. Ia merentasi agama, bangsa dan negara. Semua berhimpun atas nama kasih sayang. Itu semua rahmat dari Allah. Allah kurniakan sedikit kepada kita atas dunia, dan disimpankan sebanyak-banyaknya kasih sayangNya untuk dirasai di hari akhirat.
- Nyawa seorang manusia tiada ternilai harganya. Surah Al-Maidah ayat 32, sesiapa yang telah membunuh seorang manusia tanpa sebab bererti telah membunuh sekalian manusia, sesiapa yang telah menyelamatkan seorang manusia, bererti telah menyelamatkan seluruh umat manusia. Semoga Allah merahmati semua pasukan penyelamat.
- Usaha itu benar, hasil itu serah pada Allah. Walaupun usaha menyelamatkan Rayan itu sukar, terpaksa mengorek tanah berbatu, bukan tanah gambut seperti Malaysia, buat terowong, hulurkan tali, hantarkan kamera, hantarkan makanan, kemudian dapat diselamatkan, namun akhirnya adik Rayan meninggal dunia selepas 20 minit diselamatkan. Kalau tahu meninggal, buat apa bersusah payah selamatkan? Tapi kita tak pegang macam tu. Kita pegang pada usaha.
- Amalan tersembunyi itu benar. Tiada siapa kenal ibu bapa Rayan sebelum ini. Namun sekelip mata, ibu bapa Rayan diangkat Allah. Mari kita ingati semula pesanan Nabi Muhammad S.A.W, ada 7 golongan yang akan mendapat naungan Allah di hari akhirat, salah satunya manusia yang mengingati Allah secara bersendiri hingga mengalirkan air mata. Amalan tersembunyi nampak kecil, namun impaknya besar. Masih ingat lagi arwah Ammar yang meninggal di Turki? Masih ingat lagi arwah Abam? Ingat lagi arwah Siti Sarah? Satu satu kebaikan mereka terungkit selepas mati. Apakah amalan tersembunyi mereka? Apakah amalan tersembunyi ibu bapa Rayan? Ahh itu tak penting, apakah amalan tersembunyi kita?
Wallahuaklam.
Semoga Allah ampunkan kita. Masukkan kita ke dalam syurga dan menjauhkan kita dari api neraka.
Che Mat
Sumber: Mohamad Bin Mohshin