Jantung Babi

Penerima Jantung Babi Akhirnya Meninggal Dunia

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Manusia pertama di dunia yang mendapat pemindahan jantung daripada babi yang diubah suai secara genetik telah meninggal dunia.

Sebelum ini, David Bennett, 57, yang menghidap penyakit jantung kronik, berjaya menjalani pembedahan pemindahan jantung babi tersebut di Amerika Syarikat.

Kesihatan lelaki tersebut bagaimanapun mula merosot beberapa hari yang lalu dan beliau akhirnya meninggal dunia pada 8 Mac.

Ketika mula menjalani rawatan jantung, dia sebenarnya sudah terlantar di katil hospital selama enam minggu dan hanya bergantung kepada mesin untuk terus hidup.

David kemudiannya terpilih menjadi manusia pertama mencuba eksperimen pemindahan jantung babi yang dibuat kepada pesakit jantung peringkat akhir yang tidak mempunyai pilihan rawatan lain.

Beliau menjalani pembedahan ‘berani mati’ tersebut pada 7 Januari lalu oleh pasukan pakar bedah dari University of Maryland School of Medicine, Amerika Syarikat yang diketuai oleh Dr Bartley Griffith.

Namun, hanya selepas 2 bulan prosedur memasukkan jantung babi ke dalam badannya berjaya, David akhirnya tewas jua.

BACA: Inilah Dr Muhammad Mohiuddin, Pakar Di Sebalik Kejayaan Pemindahan Jantung Babi, Mufti Kata ‘Dibolehkan’ Jika Terdesak

Menurut Dr Bartley Griffith, dalam beberapa minggu selepas itu, David masih sempat meluangkan masa bersama keluarganya, menonton Super Bowl dan bercakap tentang keinginannya untuk pulang ke rumah dan bermain bersama anjingnya, Lucky.

David juga turut sedar mengenai risiko menjalani prosedur dan pembedahan tersebut yang tidak memberi apa-apa jaminan.

Program pemindahan organ haiwan ke dalam tubuh manusia atau disebut sebagai xenotransplantasi sebenarnya merupakan prosedur biasa yang dipertimbangkan oleh doktor.

Pada Oktober 2021, pakar bedah di New York telah mengumumkan bahawa mereka telah berjaya memindahkan buah pinggang babi kepada seorang pesakit.

BACA: Pakar Bedah Berjaya Buat Pemindahan Buah Pinggang Babi Ke Tubuh Manusia Buat Pertama Kali

Pada masa itu, pembedahan tersebut merupakan percubaan paling berjaya dalam bidang xenotransplantasi.

Walau bagaimanapun, penerima buah pinggang babi tersebut yang merupakan seorang pesakit mati otak memang tidak mempunyai harapan lagi untuk untuk sembuh.

Anak lelaki David berkata, dia berharap kisah kejayaan pembedahan bapanya akan menjadi titik permulaan harapan yang baru dan tidak berakhir di situ.

Apa yang berlaku dan punca sebenar kematian David masih belum jelas dan hasil penyiasatannya kelak akan menentukan sejauh mana usaha manusia menggunakan babi berjaya untuk menyelesaikan masalah kekurangan organ di seluruh dunia.

Jantung Babi

Sumber & kredit foto: BBC