
Penemuan Tapak Kaki Berusia 66 Juta Tahun Bukti Dinosaur Pernah Hidup Di Kelantan
Eksplorasi geosains yang dilakukan sejak Mei 2017 lalu membawa kepada penemuan kesan tapak kaki dan laluan trek dinosaur daripada kumpulan spesies Sbgrup Sauropod berusia antara 145 tahun hingga 66 juta tahun di Bukit Panau, Kelantan.
Hasil penemuan pasukan penyelidik Jabatan Geosains, Fakulti Sains Bumi (FSB), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang diketuai Pensyarah FSB, Arham Muchtar Achmad Bahar dan Profesor Surono Martosuwito bersama Profesor Udi Hartono dan Mohd Syakir Sulaiman ini membawa kepada bukti bahawa dinosaur pernah hidup di Tanah Merah, Kelantan.
Lanjutan daripada penemuan tersebut, pihaknya telah menerbitkan jurnal ilmiah bertajuk The Sauropod Dinosaur Trackways from Tanah Merah, Kelantan sempena dengan penganjuran Conference on Tropical Resources & Sustainable Sciences (CTRESS) 2.0 secara dalam talian pada 10 dan 11 Ogos lalu.
Merujuk sumber Bernama, tujuh tapak kaki fosil yang tercetak di atas Batu Pasir Kuarsa dari Formasi Panau berukuran purata 72cm panjang dan purata 66cm lebar dikenal pasti daripada sejenis reptelia berkaki empat daripada spesies herbivor yang memiliki tubuh yang besar dengan tulang belakang setinggi sembilan meter, 22 meter panjang dan berat sekitar 30 hingga 40 tan.
Hasil eksplorasi yang telah mengambil masa lebih 10,000 jam ini disahkan lagi dengan pengesahan pakar dinosaur dari Jepun. Mengikut kepada keadaan struktur muka bumi dan geologi di kawasan Bukit Panau, para pengkaji mendapati dinosaur jenis Saurapod hidup dalam persekitaran daratan khususnya di sekitar sungai berliku.
Untuk pengetahuan anda, spesies Sauropod merupakan haiwan terbesar yang pernah hidup di muka bumi dan kewujudannya di Bukit Panau sebenarnya sudah dijangka banyak ahli geologi berdasarkan keadaan geologi yang dapat dikaitkan dengan beberapa kawasan di Thailand Selatan yang mengandungi fosil dinosaur.
Bukit Panau merupakan sebuah bukit berketinggian 255 meter yang menjadi sebahagian daripada khazanah negara yang mempunyai nilai sejarah serta kisah pejuang terdahulu. Antaranya lokasi pertapaan Hang Tuah dalam menuntut ilmu kebatinan, kerohanian dan ilmu persilatan dalam memperjuangkan kedaulatan Tanah Melayu.