
Penduduk Kawasan TEMCO Wajib Pakai Gelang Merah Jambu
Penduduk kawasan TEMCO wajib pakai gelang merah jambu.
Susulan daripada penambahan kes aktif bagi kluster Sivangagga di Napoh, Kedah, kerajaan negeri Kedah telah memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pentadbiran (PKPD) di empat mukim yang berada dalam kawasan 1km radius dari restoran milik kes indeks kluster ini iaitu Mukim Ah, Mukim Hosba, serta Mukim Binjal di daerah Kubang Pasu dan Kampung Ulu, Padang Sanai di Mukim Padang Terap.
BACA: Kedai Nasi Kandar Kluster Sivagangga Tak Rekod Maklumat Pelanggan
Di kawasan ini, sesiapa yang mahu keluar dari rumah diarahkan untuk memakai gelang merah jambu bagi memastikan agar pihak berkuasa dapat mengenal pasti mereka sebagai individu dalam pengawasan (PUS).
Yang menimbulkan kebimbangan adalah salah anggap masyarakat terhadap mereka yang disangka sebagai individu yang telah melanggar arahan kuarantin di rumah.
Selepas beberapa siri kejadian yang memaparkan keingkaran individu gelang merah jambu, rakyat Malaysia menjadi semakin peka dan cakna dengan keadaan sekeliling.

Ini menjadi cabaran buat ketua keluarga yang keluar dari kawasan TEMCO untuk mendapatkan bekalan makanan kerana bimbang disalah erti masyarakat seterusnya menjadi mangsa kecaman.
Rata-rata penduduk Napoh yang berpendapatan rendah seperti petani dan penoreh berharap agar kerajaan dapat menyalurkan bantuan makanan kerana mereka tidak dapat berkerja susulan perintah yang dijalankan di kawasan tersebut.
Kluster Sivangangga berpunca daripada pemilik sebuah restoran nasi kandar yang didapati telah melanggar arahan Kementerian Kesihatan Malaysia supaya mengkuarantinkan diri dengan alasan mahu memantau perniagaan yang dijalankannya.
Hasil daripada maklumat orang awam, beliau ditahan dan dikenakan kompaun sebanyak RM1,000. Beliau yang disahkan negatif untuk ujian saringan COVID-19 kali pertama dan perlu menjalani ujian kedua pada minggu seterusnya.
Hasil ujian kedua, beliau disahkan postif dan lima kontak rapatnya juga disahkan positif pada ketika itu; empat daripadanya merupakan pekerja bukan warganegara dan seorang adalah anak lelakinya.
Setakat semalam (5 Ogos 2020) jam 12 tengah hari, seramai 1,647 orang kontak rapat telah disaring, daripada jumlah tersebut 24 disahkan positif, 754 negatif dan 869 masih menunggu keputusan.