
Penduduk Kampung Barat Jawa Ini Jana Pendapatan Dengan Buru Ribuan Ekor Cicak Sehari
Mungkin di Malaysia, kita melihat cicak adalah satu jenis haiwan yang perlu dihapuskan. Namun tidak di Indonesia.
Tahukah anda, cicak di Indonesia merupakan salah satu sumber untuk mereka menjana pendapatan? Terutama di kawasan perkampungan Barat Jawa, Kapetakan.
Penduduk kampung ini akan pergi memburu cicak di sekitar kawasan perumahan pada waktu malam dan menangkap menggunakan kayu dan memasukkan hasil tangkapan ke dalam bakul sebelum dihantar ke rumah ketua operasi.
Menjana pendapatan sekitar 40,000 rupiah (RM11.82) untuk 1kg cicak, ramai daripada pemburu cicak ini akan sanggup merentasi sehingga enam perkampungan demi mendapatkan jumlah tangkapan yang banyak.
Di rumah operasi, cicak-cicak ini akan dibilas dengan menggunakan air dan bahan yang boleh menanggalkan lapisan kulit luar cicak kemudiannya akan dipanggang selama beberapa jam sebelum dijemur dan dibungkus untuk dijual.
Bukan setakat cicak, malah haiwan seperti katak dan ular juga mendapat permintaan tinggi namun harga jualan tidak dapat menandingi harga pasaran cicak.
Menurut sumber, pembeli terbesar mereka adalah China dan Amerika Syarikat yang mana cicak digunakan untuk tujuan perubatan tradisional seperti alergi dan gatal-gatal pada kulit selain daripada bahan kosmetik!
Agak mengejutkan namun mungkin selepas membaca berita ini, mungkin kita perlu lebih berhati-hati membeli barangan keluaran China dan Amerika Syarikat.
Sumber: Vice Indonesia