
Penduduk Felda Trauma Terminum ‘Air Mayat’ Dari Tangki
Penduduk FELDA Palong 12, Jempol kini trauma kerana sudah terminum ‘air mayat’ dari tangki air Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS).
Air tangki tersebut yang tercemar adalah berpunca daripada mayat seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak lapan bulan lalu (10 Julai).
Susulan kejadian itu, permintaan terhadap air mineral oleh penduduk Felda naik mendadak berikutan kebimbangan mengenai kesucian air.
Pengusaha kedai makan turut memberitahu pelanggan hanya akan memesan air mineral atau air tin berikutan terasa geli terpaksa meminum ‘air mayat’ dari tangki SAINS.
Namun bekalan air dari tangki tersebut sudah pulih sepenuhnya mulai semalam selepas kerja pembersihan tangki selesai dilakukan oleh kakitangan SAINS bermula Ahad hingga Selasa.
25 Mac lalu, polis menemui tengkorak dan beberapa cebisan daging yang dipercayai mayat seorang lelaki dan operasi pengeluaran mayat dilakukan pada jam 1 tengah hari.
Kehadiran mayat tersebut disedari semasa pekerja SAINS melakukan pemantauan paras air sebelum menemui objek seperti mayat terapung.
Anggota bomba yang memasuki tangki air itu berjaya mengeluarkan bahagian mayat dari pinggang ke bawah pada jam 1.40 petang.
Usaha pencarian diteruskan dan anggota bomba berjaya menemui beberapa cebisan daging pada jam 2 petang.
Kemudian operasi dihentikan bagi membuang air dari tangki dan bahagian lain seperti tengkorak, rahang serta tulang diteui pada jam 6.10 petang.
Berdasarkan penemuan kad pengenalan dan dompet dalam seluar mayat, didapati lelaki tersebut adalah milik lelaki berusia 20-an dari Desa Keratong, Rompin.
Walau bagaimanapun, identiti mayat hanya dapat disahkan selepas laporan bedah siasat diperoleh dan pengecaman oleh ahli keluarga dibuat.
Sumber: Harian Metro