
Penduduk Di Indonesia Terkejut Matahari Terbit Sebelah Utara
Penduduk di Kabupaten Jeneponto, Sulawesi Selatan, Indonesia dikejutkan dengan satu video tular yang memperlihatkan matahari terbit dari utara di kawasan tersebut.
Video yang dimuat naik seorang pemilik akaun di Facebook menulis hantaran berbunyi, “Matahari terbit dari sebelah utara?”
Memetik laporan media tempatan, video tersebut dirakamkan di Sekolah Islam Negeri Binamu yang mana seorang lelaki dalam video itu menjelaskan mengenai matahari pagi yang terbit dari utara bukan dari timur yang disaksikannya.
Lelaki tersebut dipercayai bekerja sebagai guru di sekolah tersebut menyaksikan kejadian matahari terbit dari utara bersama dengan sejumlah guru lain yang mana dalam video itu, mereka kelihatan kagum dan terkejut dengan kejadian tersebut.
Ketika dia membuat rakaman, matahari berada di kedudukam utara pukul 8 pagi waktu tempatan.
“Saya belum pernah melihat sebelumnya, di mana matahari pagi biasanya terbit di timur. Ternyata matahari sudah berada di kedudukan utara, biasanya tidak seperti itu,” ujarnya.
Rakaman tular itu membuatkan orang ramai berasa gusar kerana mendakwa tidak lama lagi matahari akan terbit di sebelah barat, seperti tanda hari Kiamat.
Matahari terbit sebelah utara fenomena biasa
Ia adalah fenomena biasa terutamanya di lokasi rakaman video tular itu dibuat seperti mana yang dimaklumkan oleh pihak Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Makassar.
Penolong Mufti Kanan, Bahagian Falak Jabatan Mufti Selangor, Hardi Sadali, berkata kecondongan paksi bumi itu menyebabkan berlakunya perubahan cuaca dan musim.
Pada bulan ini, negara di bahagian utara bumi akan memasuki musim panas manakala negara di bahagian selatan akan memasuki musim sejuk.
Matahari masih terbit dari timur seperti kebiasaannya cuma disebabkan ia tidak berlaku pada sudut tepat 90 darjah, maka menyebabkan matahari seolah-olah terbit dari arah utara.
Fenomena matahari terbit di timur tetapi condong ke utara ini sudah berlaku sejak penghujung Mei tetapi baru disedari orang ramai beberapa minggu lalu menjelang kemuncaknya 21 Jun.
Ujarnya, selepas 21 Jun, arah terbit matahari akan mula ‘bergerak ke bawah’ semula dan berada pada garisan 0 darjah khatulistiwa, iaitu kedudukan tepat arah timur pada sudut 90 darjah.
Keadaan itu adalah normal selain kejadian fenomena itu turut menandakan perubahan musim.
Pakar mengatakan, matahari hanya akan terbit di titik barat apabila paksi putaran Bumi terbalik kerana perlanggaran besar dan ketika itulah tandanya hari Kiamat.
BACA: Lihat Apa Yang Akan Berlaku Pada Dunia Jika Matahari Mati