
Pendirian Berkecuali Malaysia Di PBB Dalam Isu Umat Islam Uyghur Sangat Mengecewakan
Baru-baru ini, Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menolak usul untuk membahaskan dakwaan pencabulan hak asasi manusia oleh China terhadap umat Islam Uyghur di Xinjiang.
Undian tersebut melibatkan 47 negara yang menyaksikan sebanyak 19 anggota majlis itu menentang, 17 menyokong, dan 11 berkecuali, termasuk Malaysia.
Berita menyedihkan ini dianggap sebagai satu kejayaan bersejarah bagi Beijing kerana ianya merupakan usul kedua yang ditolak dalam sejarah 16 tahun majlis itu.
“Malaysia adalah negara yang amat penting untuk meyakinkan umat Islam di seluruh dunia tentang ketidakadilan yang serius sedang berlaku. Umat Islam menganggap jika Malaysia tidak masuk campur mengenai masalah Uyghur, semuanya baik-baik sahaja,” jelas pengarah eksekutif Pusat Pengajian Uyghur Abdulhakim Idris dalam temu bual eksklusif bersama Malaysiakini.
“Bagi kami, ini adalah masalah yang mengerikan. Secara peribadi, saya tidak pasti sama ada ibu bapa saya masih hidup. Kami fikir China cuba mengawal sistem itu, dan ia berjaya.
“Kami tetap membawa isu itu kepada undian majlis hak asasi manusia PBB, dan kalah 19-17 dengan banyak negara berkecuali adalah sangat mengecewakan,” jelasnya lagi.
Menurutnya lagi, masyarakat Uyghur sangat menghargai sokongan Malaysia selama ini, namun sukar untuk menerima keputusan Malaysia yang berkecuali dalam undian berkenaan.
Akta Dasar Hak Asasi Manusia Uyghur 2020 sebelum ini telah diluluskan di bawah pentadbiran Donald Trump dan kedua-dua presiden Trump dan Biden turut dilihat pernah mengkritik penindasan China terhadap masyarakat Islam Uyghur secara terbuka.
Sebelum ini, Malaysia juga telah mengesahkan pendiriannya pada September 2020 bahawa ia akan menolak untuk menghantar pulang mana-mana pelarian Uyghur, walaupun atas permintaan China, memetik dasar Putrajaya tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara lain.
Pengerusi jawatankuasa eksekutif Kongres Uyghur Sedunia, Omer Kanat juga pada awal tahun ini telah mengunjungi Malaysia untuk membina perpaduan di kalangan negara-negara Islam berhubung isu masyarakat Islam Uyghur.
BACA: Ini Kisah Ulama Uighur Yang Meninggal Akibat Diseksa Semasa Dalam Tahanan China
Sumber: Malaysiakini
Trending now



