
Penderaan Cara Baru – Ibu Bapa Paksa Anak-Anak Buat ‘Loan’ RM50 Ribu Seorang Untuk “Balas Jasa”
Tidak dinafikan, tugas membesarkan anak-anak pada masa sekarang memang sangat sukar serta mencabar bagi setiap ibu bapa.
Namun, di samping berbakti dan menjaga mereka pada hari tua kelak, adakah anak-anak mereka tersebut wajar dijadikan sebagai satu bentuk dana atau pelan persaraan untuk mereka hidup mewah?
Perlukah setiap pengorbanan mereka itu dinilai dengan wang ringgit dan diletakkan dengan harga tertentu untuk dibayar oleh anak-anak mereka itu nanti setelah mereka menempuh alam pekerjaan?
Perkara ini terjadi seperti yang didedahkan oleh personaliti penyiaran, Fedtri Yahya melalui akaun Twitternya baru-baru ini.
Seorang individu telah memohon khidmat nasihat dari beliau setelah mendakwa ibu bapanya memaksa dirinya dan adik-beradik yang lain untuk membuat pinjaman RM50 ribu bagi “membalas jasa” mereka tanpa memikirkan desakan komitmen yang dihadapinya.
Adakah ini menjadi trend ibu bapa sekarang? Adakah kasih sayang dan pengorbanan kini boleh dijual beli dengan wang ringgit?
Seorang kaunselor wanita, Cik Ayat Binti Ibrahim melalui laman Facebooknya, Ayat Ibrahim telah membuat satu hantaran mengenai isu ini setelah Fedtri kelihatan hanya memberi respon ‘terkedu’ dan ‘hilang kata-kata’ di akaun media sosialnya.
Ikuti huraian panjang lebar Ayat Ibrahim berikut yang sangat bermanfaat untuk kita jadikan perkongsian dan iktibar bersama.
Banyak kali lalu post Fedtri Yahya (FY).
Nak mencoret sikit petang-petang ni.
Saat menikah dan mengimpikan anak, apa yang diharapkan daripada anak? Apakah matlamat ibu bapa terhadap anak-anaknya?
Agar si anak boleh menjaganya ketika tua?
Agar si anak boleh beri kemewahan kepadanya ketika tua?
Dari lensa seorang anak, memang banyak ayat-ayat Quran perihal berbuat Ihsan kepada ibu bapa. Anak-anak yang dididik dengan Iman dan dibangunkan potensi taqwa insha-Allah mahu berkhidmat dan berbuat ihsan kepada orang tuanya.
Ada pedoman surah Al-Isra’.
Ada pedoman surah Al-An’am.
Membaca post FY kali ini, terfikir-fikir.
Memang ramai yang tahu pedoman wahyu terkait tanggungjawab anak-anak terhadap orang tua.
Tapi, tahukah kita apakah harapan yang seharusnya ibu bapa letakkan terhadap anak-anak?
Ada ibu bapa melihat anak-anak sebagai “objek” atau menjadikannya sebagai aset. Aset untuk bermegah-megahan.
Anak-anak dijadikan alat untuk merealisasikan cita-citanya. Bahkan ada yang sanggup memarahi dan tidak bertegur-sapa dengan si anak tatkala anak “gagal” membuatkan dirinya bangga di hadapan teman-teman. Yang diutamakan adalah keegoan dan eksistensi diri dengan mempergunakan anak. Kelemahan anak dimarahi bukan dibantu untuk dibaiki. Kerana niat asal bukan “menumbuhkan” anak, sebaliknya niat asal adalah menjadikan anak “alat” kebanggaan. Niat yang tidak benar ini memberi kesan terhadap peribadi. Tak sabar melihat kekurangan anak-anak. Memarahi kelemahan anak-anak. Tidak ambil tanggungjawab sabar “menumbuhkan” anak-anak.
Apa punca sikap sebegini?
Cuba perhatikan ayat ini.
=========
Al-Hadid 57:20
ٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّمَا ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَزِينَةٌ وَتَفَاخُرٌۢ بَيْنَكُمْ وَتَكَاثُرٌ فِى ٱلْأَمْوَٰلِ وَٱلْأَوْلَٰدِۖ كَمَثَلِ غَيْثٍ أَعْجَبَ ٱلْكُفَّارَ نَبَاتُهُۥ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَىٰهُ مُصْفَرًّا ثُمَّ يَكُونُ حُطَٰمًاۖ وَفِى ٱلْءَاخِرَةِ عَذَابٌ شَدِيدٌ وَمَغْفِرَةٌ مِّنَ ٱللَّهِ وَرِضْوَٰنٌۚ وَمَا ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَآ إِلَّا مَتَٰعُ ٱلْغُرُورِ
Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.
===========
Manusia ini, ada yang lemah imannya pada Akhirat.
Lalu, hidupnya hanya DUNIA.
Jiwa yang berorientasi dunia melihat dunia sebagai permainan, hiburan, bermegah-megah dan memperbanyakkan dengan harta dan anak-anak.
Begitulah matlamat hamba dunia.
Salah-satunya memang bermegah-megah dengan anak-anak.
Justeru, ibu bapa yang beriman kepada akhirat seharusnya bersikap bagaimana?
Ada teladan ibu Maryam a.s yang “membebaskan” anaknya daripada kesibukan dunia (muharraran) kerana mahu anaknya berpeluang punyai masa belajar memahami wahyu agar mampu berjuang atas jalanNya.
============
Aal-e-Imran 3:35
إِذْ قَالَتِ ٱمْرَأَتُ عِمْرَٰنَ رَبِّ إِنِّى نَذَرْتُ لَكَ مَا فِى بَطْنِى مُحَرَّرًا فَتَقَبَّلْ مِنِّىٓۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْعَلِيمُ
(Ingatlah) ketika isteri Imran berkata:” Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepadaMu anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas (dari segala urusan dunia untuk berkhidmat kepadaMu semata-mata), maka terimalah nazarku; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
===========
Allah telah memilih sejarah keluarga Imran untuk umat Nabi Muhammad s.a.w ambil pedoman.
Dahsyat.
Sehinggakan nama keluarganya jadi nama surah.
Berapa ramai ibu bapa yang sanggup “infaq” anak-anaknya. Membesarkan anak-anaknya bukan untuk kepentingan peribadi. Membesarkan anak-anak bukan untuk membanggakan diri. Bahkan bernazar membebaskan si anak daripada kesulitan demi menjadikan anak pejuang agama.
Lalu, Maryam a.s benar-benar “tumbuh”.
Lihatlah kalimah yang Allah s.w.t gunakan وَأَنۢبَتَهَا نَبَاتًا حَسَنًا
Untuk menumbuhkan tumbuhan, perlu penjagaan rapi. Cukup air, cahaya matahari, baja. Dan Maryam benar-benar tumbuh sebaiknya selanjutnya dihantar ke guru terbaik, Nabi Zakariya a.s untuk belajar agama.
=========
Aal-e-Imran 3:37
فَتَقَبَّلَهَا رَبُّهَا بِقَبُولٍ حَسَنٍ وَأَنۢبَتَهَا نَبَاتًا حَسَنًا وَكَفَّلَهَا زَكَرِيَّاۖ كُلَّمَا دَخَلَ عَلَيْهَا زَكَرِيَّا ٱلْمِحْرَابَ وَجَدَ عِندَهَا رِزْقًاۖ قَالَ يَٰمَرْيَمُ أَنَّىٰ لَكِ هَٰذَاۖ قَالَتْ هُوَ مِنْ عِندِ ٱللَّهِۖ إِنَّ ٱللَّهَ يَرْزُقُ مَن يَشَآءُ بِغَيْرِ حِسَابٍ
Maka ia (Maryam yang dinazarkan oleh ibunya) diterima oleh Tuhannya dengan penerimaan yang baik, dan dibesarkannya dengan didikan yang baik, serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria. Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Maryam di Mihrab, ia dapati rezeki (buah-buahanan yang luar biasa) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya:” Wahai Maryam dari mana engkau dapati (buah-buahan) ini?” Maryam menjawab; “Ialah dari Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak dikira”.
===========
Begitu teladan seorang ibu.
Teladan ibu yang tindak tanduknya terpandu wahyu.
Kuat Iman pada akhirat sehinggakan sanggup infaq anaknya.
Bebaskan anaknya daripada menjadi tempat pergantungan orang tua.
Bebaskan anaknya daripada menjadi aset kemewahan dan kebanggaannya.
Berpaut dan berharap hanya pada Allah selama-lamanya.
Ada lagi teladan seorang bapa.
Nabi Zakariya a.s juga mengharapkan anak.
Tapi anak yang diinginkan juga diniatkan bukan untuk kepentingan diri.
Bukan sebagai sumber kebanggaan dan kemegahan.
Sebaliknya, anak itu diinginkan kerana mahukan pewaris agama, pewaris risalah.
=========
قَالَ رَبِّ إِنِّى وَهَنَ ٱلْعَظْمُ مِنِّى وَٱشْتَعَلَ ٱلرَّأْسُ شَيْبًا وَلَمْ أَكُنۢ بِدُعَآئِكَ رَبِّ شَقِيًّا
Ia merayu dengan berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya telah lemahlah tulang -tulangku, dan telah putih melepaklah uban kepalaku; dan aku – wahai Tuhanku – tidak pernah merasa hampa dengan doa permohonanku kepadaMu.
وَإِنِّى خِفْتُ ٱلْمَوَٰلِىَ مِن وَرَآءِى وَكَانَتِ ٱمْرَأَتِى عَاقِرًا فَهَبْ لِى مِن لَّدُنكَ وَلِيًّا
Dan sesungguhnya aku merasa bimbang akan kecuaian kaum kerabatku menyempurnakan tugas-tugas ugama sepeninggalanku; dan isteriku pula adalah seorang yang mandul; oleh itu, kurniakanlah daku dari sisiMu seorang anak lelaki.
يَرِثُنِى وَيَرِثُ مِنْ ءَالِ يَعْقُوبَۖ وَٱجْعَلْهُ رَبِّ رَضِيًّا
Yang layak mewarisi daku, juga mewarisi keluarga Nabi Yaakub; dan jadikanlah dia – wahai Tuhanku seorang yang diredhai serta disukai”.
Maryam 19:4-6
===============
Niat, misi dan visi orang tua terhadap anak sebenarnya akan mempengaruhi sikap “parenting” masing-masing.
Niat yang benar akan menzahirkan tindakan yang benar.
Niat yang salah, memang akan membuahkan banyak tindakan-tindakan yang salah.
Nabi Yaakub a.s yang menjalani hidup mengikut panduan wahyu mampu terus bersabar mendidik anak-anaknya yang nakal.
Kalau difikirkan logik akal, bagaimana seorang ayah mampu hadap masyarakat dengan anak-anak yang buat perangai.
Lebih-lebih lagi kalau zaman sekarang, laju je tersebar di media “ayah ustaz, tapi anak entah macam apa dah.”
Kalau anak diniatkan sebagai aset atau sumber kebanggaan, dapat kita perhatikan ada ibu bapa yang “buang” anak. Tidak mahu peduli lagi. Katanya si anak mencoreng arang ke muka.
Sebaliknya, jika sudut pandang kehidupan dipandu wahyu, moga-moga ujian anak yang “nakal” diterima sebagai peluang amal soleh, terus sabar mendidik. Usah peduli cakap² manusia. Selagi hidup, yang menilai adalah Allah. Sejauh mana sabar dengan ujian daripada Allah.
Anak bukan objek untuk ibu bapa membanggakan diri.
Tetapi anak adalah amanah untuk dididik agar menjadi hamba Robbani.
Akhirnya…
Sabarnya Nabi Yaakub a.s menjadi teladan buat setiap kita.
Fasobrun Jamil.
Kesemua anak-anaknya bertaubat pada penghujung surah Yusuf.
Happy ending kan 🙂
“Habis tu, salah ke saya mengharapkan anak-anak jaga saya ketika tua nanti?”
Sejujurnya, saya tak pasti bagaimana nak jawab soalan ini.
Yang pastinya, harapan itu sebenarnya tak boleh menjamin. Betapa ramai ibu bapa dengan ramai anak tetapi ditinggalkan di wad-wad hospital.
Jaminan yang ada adalah bergantung dan berharaplah hanya pada Allah.
Dialah sebaik-baik penjaga.
Apakah bukti anda bergantung dan berharap pada jagaan Allah?
Pilihlah untuk beramal soleh saat ini.
Pilihlah untuk jadi ibu bapa yang mengimani Akhirat.
Pilihlah jadi ibu bapa yang bertaqwa.
Pilihlah untuk jadi ibu bapa yang muhsin.
Usaha beramal soleh, bertaqwa dan muhsin inilah yang menjemput bantuan dan kebersamaan Allah.
Dengan taqwa, Allah s.w.t janjikan jalan keluar (At-Talaq:2-3)
Dengan taqwa, Allah s.w.t jamin kemudahan urusan (At-Talaq :4)
Dengan taqwa dan jiwa muhsin, Allah s.w.t janji untuk ada bersama (An-Nahl :128). Tidakkah kebersamaan Allah s.w.t itu jauh lebih baik berbanding kebersamaan si anak?
Moga-moga setiap kita terus dikurniakan hidayah dan taufiq.
Ayat Ibrahim
Yang bukan seorang ibu dan takut-takut nak tulis post ini tanpa sebarang pengalaman realiti. Moga-moga sedikit usaha kita memahami wahyu beri kekuatan untuk galas tanggungjawab keibubapaan atas jalan yang lurus.
Sumber & kredit foto: Twitter Fedtri Yahya, Facebook Ayat Ibrahim
Trending now



