
Pendedahan Mengejutkan! Yaya Pernah Dikenakan Syarat Supaya ‘Buka Tudung’
Siri animasi BoBoiBoy sememangnya membanggakan negara dan diminati ramai bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat antarabangsa.
Namun, di sebalik kisah kejayaan Animonsta Studios tersebut, rupa-rupanya tersemat satu cabaran getir yang perlu diharungi mereka sebelum ini melibatkan isu watak Yaya yang bertudung.
Pendedahan mengejutkan ini dibuat oleh pengasasnya Nizam Abd Razak yang menceritakan tentang bagaimana imej Yaya yang bertudung tersebut sebelum ini pernah ditolak oleh negara yang majoriti penduduknya sendiri adalah Muslim.
Ikuti perkongsian di Facebooknya berikut:
Pada 2010, kami pernah pitch BoBoiBoy kepada Disney Channel Asia. Antara isu yang dirisaukan kami ialah watak Yaya kerana bertudung. Apabila kami bertanya kepada Laura, Boss Disney Channel Asia pada ketika itu, beliau memberikan dorongan untuk teruskan design Yaya bertudung.
Kami agak terkejut kerana pada persepsi kami mungkin akan ada isu hijab tetapi ternyata sangkaan kami salah. Beliau berkata Yaya perlu kekal bertudung kerana itu yang unik tentang BoBoiBoy yang berasal dari rantau ini. Kami teruskan Yaya bertudung dan dalam siri BoBoiBoy, Yaya merupakan watak #2 paling popular.
Jika anda rasa itu mengejutkan, ada lagi yang lebih mengejutkan! Apabila kami mahu memasuki beberapa negara majoritinya Muslim, di situ pula tudung menjadi sensitif. Mereka meletakkan syarat untuk Yaya tidak bertudung. Jika anda perasan, ada versi Yaya yang digantikan dengan Hanna yang tidak bertudung.
Pelik bin ajaib apabila yang bukan Muslim menerima watak Yaya bertudung tetapi negara majoriti Muslim pula tidak menerima watak Yaya yang bertudung. Pada awalnya kami ikutkan kehendak mereka tetapi kini kami tidak lagi tunduk kepada permintaan sebegitu.
Kami sedar jika kita sendiri tidak mengetengahkan kepercayaan dan budaya dari rantau ini, siapa lagi? Kita tidak mungkin menjadi unik dengan cuba menjadi sama seperti yang lain.
Kini watak Mara dalam Mechamato pula menjadi watak yang digemari peminat terutama dari Jepun dan luar negara. Mara bukan sahaja bertudung tetapi juga berkerusi roda. Teruskan menonton dan menyokong Mechamato kerana watak Mara akan terus berkembang dalam musim-musim yang seterusnya! 😉
BACA: Ms Marvel: ‘Superhero’ Muslim Pertama Terima Reaksi Positif Masyarakat Islam Amerika Syarikat
Sumber: Nizam Abd Razak