Pendapatan RM2,500 Miskin Bandar

Pendapatan RM2,500 Di Kuala Lumpur Mungkin Kategori Miskin Bandar – Penganalisis Ekonomi

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed telah mengumumkan bahawa kerajaan akan mengumumkan Paras Garis Kemiskinan (PGK) baharu dalam masa terdekat dan penganalisis ekonomi percaya bahawa klasifikasi baharu ini bermaksud pendapatan RM2,500 sebulan mungkin dikelaskan sebagai miskin bandar di Kuala Lumpur.

Menteri berkenaan tidak menolak kadar kemiskinan mungkin meningkat apabila PGK baharu berdasarkan metodologi 2019 diumumkan kelak. Hal ini kerana PGK RM980 bagi isi rumah yang ditetapkan mengikut metodologi 2005 sudah tidak relevan.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata Jabatan Perangkaan telah menjalankan Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas bermula Januari hingga November 2019 bagi mendapatkan angka sebenar mengenai kemiskinan dalam negara.

Katanya, pendapatan per kapita meningkat dua kali ganda kepada RM45,000 sejak PGK terakhir diputuskan pada tahun 2005. Di bawah metodologi 2019, adalah mustahil PGK berada kekal pada RM980.

Penganalisis ekonomi, Prof Datuk Dr Shazali Abu Mansor yang juga Profesor dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) berkata kepada Berita Harian, PGK yang akan diumum itu perlu bercirikan lokaliti tertentu selain menambah beberapa lagi segmen yang dianggap satu keperluan bagi sebuah isi rumah.

Contohnya kata beliau, bagi bandar seperti Kota Bharu di Kelantan, dengan pendapatan RM1,500 sebulan, ia mungkin mencukupi bagi individu yang sudah berkeluarga, namun di bandar besar lain mungkin berbeza.

Di Kuala Lumpur, dengan pendapatan RM2,500 sebulan mungkin dikategorikan sebagai miskin bandar.

Pendapatan RM2,500 Miskin Bandar

Katanya, pengkelasan PGK mengikut lokaliti ini akan membantu kerajaan untuk merangka dasar ekonomi yang lebih teliti dan bersasar. Penilaian PGK juga mesti diperluas dengan mengambil kira perbelanjaan baru bagi setiap isi rumah yang kini boleh dianggap sebagai satu keperluan.

Malah, Dr Muhammed Abdul Khalid dari Pusat Penyelidikan Khazanah juga menyatakan bahawa untuk memenuhi syarat B40 di kawasan bandar, sekurang-kurangnya memperoleh pendapatan RM3,000 sebulan.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini mendakwa kadar kemiskinan Malaysia 0.4 peratus pada 2016 adalah tidak realistik kerana meletakkan penanda aras yang rendah iaitu RM980.

Sumber: BH, Bernama