
Pencipta Vaksin Percaya COVID-19 Akan Menjadi Selesema Biasa
COVID-19 Akan Menjadi Selesema Biasa.
Pakar di Universiti Oxford, Profesor Sarah Gilbert yang bertanggungjawab membangunkan vaksin AstraZeneca percaya COVID-19 akan berubah menjadi selesema biasa dan tidak mampu lagi melawan keberkesanan vaksin pada masa akan datang.
Menurut Gilbert, virus yang menjadi penyebab kepada wabak itu, tidak akan bermutasi menjadi varian berbahaya, sebaliknya menjadi virus korona yang wujud dalam kehidupan harian.
“Kita sudah pun hidup dengan empat virus korona manusia berbeza yang tidak terlalu dihiraukan. Saya berpendapat bahawa Sars-CoV-2 akan menjadi satu daripada virus itu.
“Cuma yang menjadi persoalan sekarang adalah berapa lama tempoh masa yang diperlukan untuk mencapai keadaan itu serta langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk mengawalnya sebelum keadaan itu mampu dicapai,” katanya.
Tambah Gilbert, COVID-19 juga tidak dapat bermutasi untuk mengelak daripada vaksin yang diberikan.
“Lonjakan dalam protein yang disasarkan oleh vaksin hanya memiliki kemampuan terbatas untuk bermutasi, namun virus masih boleh masuk ke dalam sel manusia.
“Sekiranya ia mampu mengubah protein yang melonjak sehingga tidak dapat berinteraksi dengan reseptor, barulah ia tidak dapat memasuki sel manusia,” ujarnya.
Dalam pada itu, Gilbert menegaskan bahawa vaksinasi adalah perkara paling penting bagi mengawal pandemik pada masa akan datang.
Menurutnya, persiapan terhadap sebarang kemungkinan pandemik pada masa hadapan adalah penting bagi memastikan wabak tidak dapat menular kepada banyak negara.
“Kita perlu mampu untuk bertindak pantas terhadap mana-mana wabak sebaik sahaja ia dikenal pasti seperti melaksanakan vaksinasi pada populasi tempatan, mengawal wabak dan menghentikannya daripada terus merebak,” jelasnya.
BACA lanjut: Tolak Patenkan Vaksin Demi Selamatkan Jutaan Nyawa, Kenali Pencipta AstraZeneca Sarah Gilbert
Sementara itu, Malaysia bakal memasuki fasa endemik COVID-19 bermula hujung Oktober ini selepas 80 Peratus populasi dewasa di negara ini lengkap menerima dua dos vaksin, menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Tambahan, pendekatan menganggap COVID-19 sebagai satu endemik bukan tanda mengalah terhadap pandemik itu sebaliknya adalah bersifat untuk mengadaptasi.
Hal ini berikutan adanya varian Delta, saintis seluruh di dunia mengatakan bahawa untuk mencapai imuniti kelompok agak sukar disebabkan kemunculan varian baharu.
Sumber: Kosmo
One comment
Comments are closed.
[…] dengarkah dakwaan bahawa virus COVID-19 ini akan dianggap menjadi seperti selsema biasa? Mungkin dalam kalangan kita mesti sehingga kini belum pernah dijangkiti COVID-19 (sama ada tidak […]