Merdeka 118

Penceroboh Telah Ditahan Polis, Kawalan Di Menara Merdeka 118 Akan Dipertingkatkan

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Wartawan Marlia Zakaria dari KOSMO! ONLINE melaporkan, sekumpulan penceroboh lelaki yang didakwa sebelum ini berjaya menakluki Menara Merdeka 118 sebenarnya telah ditahan polis pada hari yang sama dengan kejadian iaitu pada 1 Mei tahun lalu.

Aksi mereka yang menyalahi undang-undang dan berbahaya sekali gus menjadi risiko kepada keselamatan pekerja-pekerja yang lain di tapak pembangunan tersebut juga telah didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Menurut kenyataan dari PNB Merdeka Ventures Sdn. Bhd. yang merupakan anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), pihaknya akan terus mempertingkatkan kawalan keselamatan bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang.

“Menceroboh merupakan kesalahan jenayah yang boleh dihukum oleh undang-undang dan sesiapa yang didapati bersalah atas perbuatan ini akan dikenakan tindakan sewajarnya,” jelasnya.

Sebelum ini, tular video pencerobohan tersebut yang berdurasi lebih 7 minit dan dimuat naik pada 30 Disember lalu di akaun YouTube, Driftershoots.

Melalui video berkenaan, kumpulan yang terdiri daripada empat orang itu dilihat berjaya menyelinap masuk seterusnya memanjat bangunan berkenaan.

“Oleh yang demikian, kami menyelar segala perbuatan haram yang dilakukan di tapak pembangunan ini untuk meraih keuntungan komersial dan populariti secara haram.

“Kami ingin menekankan bahawa tapak Merdeka 118 masih aktif dengan kerja-kerja pembinaan dan keselamatan adalah keutamaan kami,” tambahnya lagi.

Insiden ini menjadi topik perbualan hangat di kalangan rakyat Malaysia berikutan kejadian yang sama pernah berlaku melibatkan pasangan Russia, Angela Nikolau dan Ivan Beerkus yang turut berjaya menceroboh dan menawan bangunan kedua tertinggi di dunia itu sebelum ini.

Merdeka 118

BACA: Baru Sahaja Nak Bergelar Bangunan Kedua Tertinggi Dunia, Menara 118 Dah Jadi ‘Mangsa’ Vandalisme

Sumber: KOSMO! ONLINE