Pencak Silat Ke Olimpik Paris

Pencak Silat Bakal Ke Sukan Olimpik, Sedia Demonstrasi Di Paris 2024

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Visi untuk melihat pencak silat dimasukkan ke dalam acara pingat Olimpik, bukan sesuatu yang tidak boleh dicapai.

Seni pertahanan diri, pencak silat berkemungkinan menjadi salah satu daripada acara yang akan dipertandingkan pada temasya Sukan Olimpik Los Angeles 2028 atau Brisbane 2032.

Ia berikutan selepas pencak silat melepasi dua kriteria penting bagi membolehkan sesuatu sukan mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) untuk dipertandingkan di temasya yang berlangsung setiap empat tahun sekali itu.

Perkembangan ini dikongsikan sendiri oleh Setiausaha Teknikal Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA), Kamarul Ariffin A. Latib menerusi laman sosial Facebook.

Beliau mengatakan, perjalanan sukan tempur itu berada di landasan tepat untuk membuat penampilan sulung dalam sejarah Olimpik.

Pencak Silat Ke Olimpik Paris

“Syarat atau kriteria (buat) satu-satu sukan untuk masuk ke dalam Sukan Olimpik sangat ketat. Antaranya adalah sukan tersebut mesti dimainkan di 65 buah negara di 5 buah benua seluruh dunia.

“Syarat kedua, sukan tersebut mesti dipelawa untuk buat demonstrasi di Sukan Olimpik.

“Dan syarat ketiga, selepas demonstrasi itu berjaya, sukan terbabit harus menunggu antara 4 ke 8 tahun bersamaan 2 kali penganjuran Sukan Olimpik untuk benar-benar bersedia untuk menyertai kejohanan sukan terbesar dunia itu,” jelasnya.

Ujarnya, Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (PERSILAT) telah sahkan bahawa ada 90 negara yang ada Persatuan Silat berdaftar di negara yang mana ia melepasi syarat pertama.

Menerusi syarat kedua, IOC juga telah meminta Persilat untuk bersedia membuat demonstrasi di Olimpik Paris 2024.

“Jika anggaran waktu 4 ke 8 tahun selepas demonstrasi bermakna, Silat akan bertempat di Olimpik sekitar tahun 2028 atau 2032,” katanya.

Setakat ini, terdapat enam acara seni pertahanan diri atau sukan tempur yang telah dipertandingkan di temasya Sukan Olimpik.

Antaranya tinju, lawan pedang, judo, karate, taekwondo dan gusti. Terbaharu, sukan Muay thai bakal dipertandingkan di Olimpik Paris 2024.

Silat juga kini telah berubah kepada lebih ‘ekstrem’ – merupakan nilai tambah yang tinggi kepada potensi sukan itu untuk dipertandingkan dan mempunyai VAR (video bantuan pengadil) berlandaskan kriteria Olimpik.

Sebagai rekod, silat juga telah melahirkan Olahragawan dan Olahragawati Negara pada 2016 serta 2017 menerusi Al Jufferi Jamari dan Siti Rahmah Nasir.