Kamarul Ariffin Nor Sadan

‘Penampakan’ Benda Putih Di Ruang Tamu Rumah, Aplikasi CCTV Hantar Notifikasi Tengah Malam Kesan Pergerakan

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Penggunaan CCTV (closed-circuit television) atau kamera litar tertutup di dalam rumah sendiri memang didapati memberi banyak manfaat.

Selain dari dapat digunakan untuk tujuan kawalan keselamatan, ianya juga sekali-sekala dapat digunakan untuk memantau aktiviti anak-anak.

Sebelum ini juga, pernah dilaporkan mengenai kejadian seorang wanita yang hampir menjadi mangsa pengawal keselamatannya sendiri, namun terselamat kerana CCTV yang dipasang di rumahnya.

BACA: ‘Harapkan Pagar’, Wanita Ini Hampir Jadi Mangsa Habuan ‘Pak Guard’ Sendiri

Perkongsian menarik kali ini pula adalah mengenai CCTV di dalam rumah yang berjaya mengesan ‘penampakan’ dan pergerakan lembaga misteri ala-ala filem Paranormal Activity.

Jom ikuti hantaran yang dibuat oleh Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan di Facebooknya berikut.

* Gambar yang dikongsi adalah sekadar hiasan semata-mata.

Kamarul Ariffin Nor Sadan

“Yang, malam semalam I saw something in the CCTV!”

Beberapa minggu lepas, isteri saya bercerita sesuatu yang buat saya jadi risau. Saya jangka dia nak kata dia nampak pencuri masuk ke apa, tapi bukan itu yang hendak diceritakan. Dia kata dia nampak sesuatu yang misteri di CCTV di rumah kami. Sesuatu yang mungkin gangguan paranormal. Saya jadi hairan.

Isteri saya ni jenis tak berapa taksub dengan kejadian paranormal. Jarang sangat dia bercakap tentang gangguan paranormal atau makhluk halus. Bukanlah dia tak percaya perkara ghaib, cuma dia lebih suka cari penjelasan yang lebih logik. Jadi bila dia cerita apa dia nampak, saya jadi sangat khuatir.

Rumah kami ni ada beberapa CCTV, jenis yang boleh dipantau melalui telefon pintar. Kami biasa guna untuk pantau anak-anak di rumah bersama pembantu rumah. Ia juga ada fungsi untuk menukar arah pandangan, pandangan malam (night vision), serta sensor pergerakan.

Salah satu daripada CCTV ni diletakkan di tingkat bawah di ruangan utama. Ia dihalakan untuk paparkan pemandangan ruang tamu, termasuk satu ruangan berhampiran pintu masuk rumah.

Pada waktu malam, lampu di tingkat bawah ni tidak dinyalakan, menjadikannya agak kelam dan suram. Jadi, pada waktu malam, CCTV akan ditukarkan kepada mod pandangan malam, dan ciri pengesanan pergerakan akan dihidupkan.

“I tengah tidur…”

Pada malam berkenaan, ketika kami semua sudah tidur, tiba-tiba telefon isteri saya berbunyi. Bunyi itu membangunkannya. Bila dia periksa telefonnya itu, dia lihat ia adalah notifikasi dari aplikasi CCTV. Notifikasi itu memberitahu CCTV di ruang tamu mengesan pergerakan.

Isteri saya pun buka aplikasi CCTV dan lihat paparannya. Dia dapati aplikasi CCTV tu menunjukkan CCTV itu telah mengirim satu notifikasi 1 jam lepas. Ia juga adalah notis pemberitahuan suatu pergerakan telah dikesan.

Isteri saya pun buka paparan kamera CCTV di ruang tamu itu melalui telefonnya. Kelihatan ada satu objek yang tak diketahui berada di hadapan CCTV tu. Digambarkan pada saya, benda itu kelihatan putih, lonjong dan bergerak-gerak sedikit.

It’s white oval, and twitching,” katanya.

Isteri saya mula-mula sangka ianya serangga yang berada di atas lensa kamera CCTV, jadi dia mengalihkan pandangan kamera CCTV itu menggunakan aplikasi ditelefonnya. Namun, dia dapati benda putih itu tidak bergerak bersama lensa CCTV. Ia kekal berada di posisi yang sama. Bermakna, benda itu bukan berada di permukaan lensa CCTV.

Isteri amati lagi benda misteri itu lagi. Dia tak berapa pasti benda itu sebenarnya berada di lokasi mana. Mungkin di depan pintu masuk, mungkin juga di ruang tamu. Itu membuatkan dia rasa curiga. Jadi dia gerakkan lagi CCTV itu, kalih pandangannya ke kiri dan ke kanan dalam cubaan nak kenal pasti di mana benda itu.

Bayangkan, dalam CCTV di mod pandangan malam, semua benda kelihatan kelabu, tetapi ada suatu benda putih dan lonjong bergerak-gerak, tetapi tidak beralih dari tempatnya. Besar juga bendanya. Ia menjadikan isteri saya sangat curiga, jadi dia pergi periksa.

Isteri saya bangkit dari katil, keluar dari bilik tidur, pergi ke tangga, perlahan-lahan menuruni tangga itu. Saya pun tak pasti kenapa isteri saya ni berani sangat nak turun dan periksa. Tidak pula dia kejutkan saya yang sedang berdengkur di sebelahnya.

Bila isteri saya sampai di bawah, dia jengah ke arah ruang tamu dan ruang berhampiran pintu masuk tu. Dia kata ketika itu dia ada rasa takut, tapi rasa curiga dia lebih kuat. Dia pergi ke ruang tamu dan buka lampu kerana dia tak nampak benda yang terpapar dalam skrin CCTV tu.

Ternyata, selepas nyalakan lampu pun, memang tiada apa yang aneh di ruang tamu itu. Setelah dia puas hari periksa ruang tamu, dia pun padam lampu dan naik semula ke bilik. Kemudian dia ambil telefonnya, dan periksa aplikasi CCTV.

Kali ni, benda tu sudah tiada dalam paparan CCTV. Maka isteri saya pun sambung tidur ditemani dengkuran saya. Esoknya, dia beritahu apa yang berlaku. Saya dengar cerita dia, saya jadi risau kenapa dia berani sangat. Kalau ada penceroboh, macam mana?

“Ada rakam tak? CCTV kita boleh rakam, kan?” tanya saya.

Malangnya, dia tak rakam. Dia kata tak terfikir nak rakam sebab malam semalam dia separa mamai dan sangat curiga apa yang dia nampak dalam CCTV tu. Apapun, isteri saya bukan jenis suka bercerita benda seram dan misteri. Saya tak rasa dia reka-reka cerita ni.

Lagi pun, di pintu masuk rumah saya tu, dari mula kami pindah masuk rumah, memang dah ada sesuatu yang misteri. Pada minggu pertama kami tinggal d rumah ni, di pintu hadapan tu ada bau busuk, tapi kami tak jumpa puncanya. Bau seperti haiwan mati. Ia berterusan selama 3 hari, dan akhirnya hilang sendiri.

Malah, sebelum penampakan dalam CCTV ni, kami perasan ada bau bangkai di pintu masuk itu. Habis kami punggah kabinet rak kasut untuk cari apa-apa yang boleh menyebabkan bau itu, tapi tak jumpa apa-apa yang aneh. Kami cuci rak tu bagai, tapi tak hilang bau tu. Beberapa hari selepas itu, bau tu hilang sendiri.

Beberapa hari lepas, kami beli satu lagi CCTV tambahan. Tak tahulah apa yang kami harapkan, mungkin untuk pantau di beberapa kawasan lain, termasuk di luar rumah (di hadapan pintu masuk). Tengoklah macam mana nanti.

Siapa yang ada CCTV di rumah? Ada alami benda yang sama tak?

*Gambar hiasan

Sumber & kredit foto: Kamarul Ariffin Nor Sadan