Pengawal VIP Langgar Cermin Sisi Kereta Orang Awam

Pemuda Persoal Tindakan Anggota Konvoi VIP Langgar Cermin Sisi Kereta Kerana Lambat Beri Laluan

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Keseronokan memandu boleh terganggu apabila kita dikejutkan dengan bunyi siren yang meminta kita ke tepi untuk memberi laluan kepada orang kenamaan utama (VIP) yang melalui jalan itu.

Tidak menjadi perkiraan, destinasi sama ada berkaitan tugas rasmi atau tidak, yang pentingnya VIP perlu diiringi.

Situasi ini tidak menjadi masalah kepada pengguna jalan raya lain namun akan berbeza apabila kenderaan sendiri dikasari anggota konvoi VIP ini.

Isu ini disuarakan oleh seorang pengguna Twitter @FannnF yang mendakwa menjadi ‘mangsa keadaan’ apabila salah seorang pengiring kenderaan VIP telah melanggar cermin sisinya kerana tidak sempat menyusur ke kiri untuk memberi laluan.

Katanya, sewaktu kejadian, konvoi berkenaan sedang memotong kenderaan yang dipandunya.

Dia memaklumkan bahawa lewat menukar lorong kerana tidak boleh meluru ke lorong kiri pada saat-saat akhir.

Jika dia berbuat demikian, pemandu tersebut akan mengundang padah melanggar kenderaan lain.

Difahamkan, kejadian tersebut berlaku di Lebuhraya Elite, berhampiran laluan keluar Saujana Putra.

Pengawal VIP Langgar Cermin Sisi Kereta Orang Awam
Sumber: CARI

Susulan insiden yang berlaku, dia juga membangkitkan persoalan dengan bertanya kepada Twitter rasmi PDRM terhadap sikap pengawal pengiring VIP sebegini.

“Saya nak tanya @PDRM, adakah trip VIP ini sangat penting? Sampai merisikokan nyawa pengguna jalan raya yang lain?”

Perkongsian Irfan mendapat perhatian netizen yang rata-ratanya turut berkongsi pengalaman sama yang dihadapi mereka.

“Perkara ini pun terjadi pada saya tahun lepas, memang tak perasan yang ada konvoi di belakang, bila tukar lane, konvoi escort patahkan cermin sisi. Sakit hati gila! Tak sangka ada juga orang kena senasib.”

“Perkara ini sering berlaku, mereka akan tolak kita keluar dari lane secara terburu-buru. Kita juga panik kerana mereka tak sabar dan kurang ajar. Merbahayakan! Mereka bawa laju lebih dari had laju yang ditetapkan tetapi kita yang rakyat biasa yang kena saman sebab bawa laju.”

Ciapan terakhir ketika artikel ini ditulis memberi gambaran bahawa pemilik akaun twitter ini telah dipanggil untuk siasatan.

Untuk makluman, orang awam yang menghalang termasuk tidak memberi laluan boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Polis 1967.