Pemuda Menyamar Sebagai Doktor Di PPV Sarawak

Pemuda 20 Tahun Mengaku Menyamar 32 Kali Sebagai Doktor Di PPV Sarawak

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Pemuda 20 Tahun Menyamar 32 Kali Sebagai Doktor Di PPV Sarawak.

Sejak Malaysia melancarkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), ramai juga yang memohon untuk menjadi sukarelawan Malaysia Vaccine Support Volunteers (myVAC) yang ditawarkan kerajaan.

Namun, lain pula yang berlaku terhadap pemuda berusia 20 tahun ini yang dihadapkan ke mahkamah setelah didakwa menyamar sebagai seorang doktor di sebuah pusat pemberian vaksin (PPV) di Kuching, Sarawak.

Lelaki itu menyamar sebagai seorang doktor Hospital Umum Sarawak sekurang-kurangnya sebanyak 32 kali sejak 16 Jun hingga 1 Julai lalu, menurut sumber MalaysiaKini yang memetik laporan See Hua Daily.

Tertuduh telah melakukan kesalahan antara Januari dan Julai tahun ini. Menerusi siasatan polis, pemuda itu turut memiliki pas palsu sebagai kakitangan di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Dia yang ditahan polis di PPV Stadium Perpasuan pada 1 Julai lalu juga dikatakan telah membeli peralatan seperti baju scrub berwarna merah dan biru, steteskop, pulse oximeter dan menempah cop nama.

Dia mendakwa telah menerima kebenaran orang atasannya untuk bekerja di PPV Stadium Perpaduan, kemudian mengendalikan kauntar pendaftaran PPV tanpa kelulusan daripada kakitangan di situ.

Pemuda Menyamar Sebagai Doktor Di PPV Sarawak

Kantoi apabila diketahui usia 20 tahun

Keraguan mula timbul pada 22 Jun lalu ketika tertuduh berbual dengan doktor lain, di mana doktor tersebut mendapati dia hanya berusia 20 tahun.

Ketika ditanya polis, dia didakwa berkata menyamar kerana “berminat untuk menjadi doktor” dan telah mempelajari perubatan secara dalam talian.

Kesalahan pemuda itu termaktub di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-dua jika sabit kesalahan. Kes dijadualkan disebut di mahkamah majistret pada 17 ogos ini.

Kes sebegini bukanlah pertama kali berlaku di Malaysia. Terdahulu, remaja 19 tahun ‘kantoi’ menyamar inspektor polis selepas menghampiri dua anggota polis yang sedang menjalankan tugas.

Setelah disoal siasat, remaja itu didapati berbuat demikian kerana obses dengan seragam polis sehingga sanggup membeli semua kelengkapan penjawat awam itu secara dalam talian.

BACA: Petugas Hospital Kantoi Ponteng Kerja Selama 15 Tahun Tapi Gaji Tetap Jalan