
Pemimpin Agung Iran Ancam Usir Warga AS Dari Iraq Dan Syria
Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei mengeluarkan kenyataan provokatif ke Amerika Syarikat (AS), kali ini mengancam warga AS akan diusir dari Iraq dan Syria.
Ia sekali gus mengulangi tuntutan Iran agar tentera Amerika Syarikat berundut dari Timur Tengah.
Iran hampir terjerumus ke dalam konflik sengit dengan Amerika Syarikat apabila serangan dron Amerika membunuh panglima tentera Iran Qassem Soleimani di Baghdad pada 3 Januari lalu, yang menyebabkan Tehran bertindak balas dengan melancarkan serangan peluru berpandu ke atas pangkalan Amerika Syarikat di Iraq beberapa hari kemudian.
Menurut Khamenei, tindakan Amerika ke atas Afghanistan, Iraq dan Syria telah menyebabkan negara itu dibenci, termasuk di negara yang selama ini menjadi sekutu AS di Arab.
“Warga Amerika Syarikat tidak boleh dibiarkan terus berada di Iraq dan Syria dan mereka akan diusir.
“Bahkan, para pemimpin beberapa sekutu Amerika, membenci negarawan dan pemerintah Amerika. Mereka tidak mempercayai AS,” kata Khamenei.
Beliau turut menyebut AS sebagai ‘penghasut perang’, yang mana negara itu didakwa dalang kepada sejumlah negara.
Hubungan AS dan Iran semakin meruncing sejak 2018, ketika Presiden Donald Trump menarik diri dari perjanjian damai nuklear Iran. Sebenarnya, hubungan antara keduanya sebelumnya akrab kerana pembekuan sekatan di Tehran.
Trump menyatakan Perjanjian Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) sebagai kesepakatan terburuk yang pernah ada. Krisis itu menjadi semakin meruncing apabila Washington mengenakan sekatan ekonomi ke atas Iran dan cuba menyekat akses kepada perdagangan antarabangsa termasuk jualan minyak.
Kemuncaknya, kedua negara terlibat saling menyerang pada awal 2020 lalu, bermula ketika AS membunuh panglima tentera Iran tersebut.
Bulan lalu, Presiden Donald Trump berkata bahawa beliau sudah mengarahkan Angkatan Tentera Laut Amerika Syarikat untuk melepaskan tembakan ke arah kapal-kapal Iran yang mengganggu misi mereka di laut, tetapi kemudian menegaskan bahawa beliau tidak mengubah peraturan pertempuran.
Menyusuli kenyataan Trump, ketua Pengawal Revolusi Iran, Mejar Jeneral Hossein Salami berkata bahawa Iran akan memusnahkan kapal perang Amerika Syarikat jika keselamatan negara itu diancam di Teluk Parsi.
Sumber: Reuters