Beruang Matahari COVID-19

Pemburuan Haram Beruang Matahari Malaysia Meningkat, Dakwa Hempedunya Boleh Rawat COVID-19

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Dua persatuan alam sekitar telah memberi amaran terhadap kelangsungan hidup beruang matahari Malaysia yang kini terancam susulan tindakan Beijing meluluskan penggunaan hempedu haiwan itu dalam rawatan COVID-19.

Laporan berita baru-baru ini mengatakan Beijing telah meluluskan penggunaan hempedu beruang untuk merawat COVID-19, seminggu selepas ia mengharamkan penjualan binatang liar untuk makanan, dengan menyatakan risiko penyakit yang tersebar dari haiwan ke manusia.

Suruhanjaya Kesihatan Nasional China mengeluarkan garis panduan yang mengesyorkan penggunaan suntikan yang mengandungi serbuk hempedu beruang, tanduk kambing dan tiga ramuan perubatan lain untuk rawatan pesakit koronavirus yang kritikal.

Ia telah menyebabkan pemburuan haram terhadap haiwan yang juga dikenali sebagai beruang madu itu termasuk di Sarawak dipercayai meningkat mendadak.

Berikutan itu, Sarawak Forestry Corporation (SFC) proaktif melakukan usaha pencegahan aktiviti pemburuan haram spesies berkenaan serta hidupan liar lain di hutan di negeri ini.

SFC juga mengeluarkan larangan keras terhadap pemburu haram dan memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka jika tetap berdegil.

Dalam kenyataannya, antara lain, jurucakap SFC berkata, mereka bekerjasama rapat dengan beberapa agensi kerajaan antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Pihak Berkuasa Pelabuhan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Ini bagi membolehkan aktiviti haram ini digagalkan seterusnya membolehkan mereka yang ditangkap atas kesalahan memburu dan menyeludup menerima hukuman di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998” katanya dalam kenyataan itu.

Dalam kenyataan yang sama, penggunaan organ hidupan liar membabitkan mana-mana spesies bagi tujuan merawat COVID-19 tidak dipraktikkan kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan malah hampir semua negara di dunia.

Beruang Matahari COVID-19

“Ketika ini petugas barisan hadapan sedang berjuang melakukan usaha yang terbaik bagi merawat pesakit COVID-19 dan pemburuan haram bukanlah satu penyelesaian,” katanya.

Bagi memastikan pemburu dan penyeludup haram tidak meloloskan diri ke negara jiran, langkah yang diambil seperti melaksanakan kawalan ketat di pintu sempadan antarabangsa.

Beruang matahari ini terus diburu pemburu haram adalah untuk memenuhi permintaan pengamal perubatan tradisional cina di Sabah dan Sarawak. Menurut kajian, produk hempedu telah dijual di 35% kedai ubat tradisional di Sabah dan 19.3% di Sarawak.

Loretta Shepherd, koordinator komunikasi Monitor mengakui bahawa kesedaran alam sekitar yang lebih tinggi dan pengurangan populasi beruang matahari telah menyebabkan kejatuhan penggunaan hempedu beruang selama bertahun-tahun, bagaimanapun ancaman kepupusan tekal ditahap serius.

Beliau memberi amaran tentang kemungkinan pengamal perubatan tradisional tempatan berikutan kelulusan Beijing dalam mempromosikan hempedu beruang sebagai ubat untuk COVID-19.

Sumber: FMT