
Pelarian Rohingya Dakwa Dipukul Penyeludup, Terpaksa Minum Air Kencing Sendiri Untuk Terus Hidup
Nasib malang menimpa pelarian Rohingya yang terdampar di laut apabila mendakwa mereka dipukul penyeludup, malah lebih teruk terpaksa meminum air kencing untuk terus hidup sepanjang tempoh empat bulan bergadai nyawa di laut sebelum mereka akhirnya diselamatkan berhampiran pantai Indonesia.
Rabu lalu, mereka telah diselamatkan oleh nelayan Indonesia dan ditarik ke pantai di perairan Aceh Utara oleh penduduk tempatan pada keesokannya. Kira-kira 100 pelarian Rohingya yang ditemui kebanyakannya adalah wanita dan kanak-kanak.
Berkongsi pengalaman pahit, mereka turut mendakwa, ada di antara mereka yang mati dan terpaksa membuang mayat ke laut.
Dua daripada mangsa terselamat mendakwa, penyeludup yang diupah untuk mengangkut mereka telah bertindak memukul sebelum meninggalkan etnik Rohingya berkenaan di laut.
“Kami begitu menderita di dalam bot itu. Mereka menyeksa dan mencederakan kami. Malah, salah seorang daripada kami telah mati.
“Pada mulanya, ada makanan tetapi apabila ia sudah habis, mereka (penyeludup) memindahkan kami ke bot lain dan membiarkan kami hanyut di lautan,” kata Rashid Ahmad, 50, kepada pemberita di pusat tahanan imigresen di bandar Lhokseumawe di pantai utara Sumatera.
Seorang lagi mangsa terselamat dikenali sebagai Habibullah mendakwa penyeludup memukul kesemua pelarian itu termasuk telinga dan kepalanya juga dicederakan. Mereka bertahan dengan catuan beras dan kekacang, manakala sumber minuman diambil daripada air tadahan hujan.

Bagaimanapun, media antarabangsa masih belum dapat mengesahkan kesahihan kisah pelarian itu. Pada masa sama, media melaporkan bahawa etnik terbabit telah memulakan perjalanan pada awal tahun ini, berhampiran sebuah kem pelarian Rohingya di Bangladesh.
Indonesia dan Malaysia antara destinasi digemari pelarian Rohingya beragama Islam yang melarikan diri daripada keganasan tentera Myanmar, dengan ribuan cuba menyelamatkan diri menyeludup masuk melalui laut setiap tahun.
Pelarian Rohingya yang diselamatkan penduduk tempatan di sana tempoh hari telah disahkan negatif COVID-19. Ujian saringan COVID-19 itu dilakukan Pertubuhan Migran Antarabangsa (IOM) yang menyatakan pihaknya ke lokasi penempatan sementara pelarian itu di Lhokseumawe, Aceh untuk memberikan bantuan ubat-ubatan.
Ketika ini, nasib kumpulan pelarian itu masih tidak dapat dipastikan – keputusan itu diserahkan kepada pihak berkuasa.
“Sebagai sesama Muslim, saya merasa kasihan kepada mereka, terutama kerana terdapat ramai kanak-kanak dan wanita – ini sangat menyakitkan hati saya
Saya harap kita terus menolong mereka sebagai sesama manusia.” kata penduduk di sana, Saiful Hardi.
BACA: PATI Rohingya Bersembunyi Di Pulau Sempadan Sebelum Masuk Malaysia
Sumber: Aceh Today