Pelajar UNITEN Bangunkan Aplikasi Periksa Kehadiran Pelajar, Sudah 300 Sekolah Yang Daftar

Aplikasi Kehadiran Pelajar Datang.my

Pelajar UNITEN bangunkan aplikasi kehadiran pelajar untuk kegunaan sekolah.

Penggunaan teknologi kini semakin diharapkan dan mula memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian sejak masyarakat perlu beradaptasi dengan wabak COVID-19.

Beberapa hari ini, guru-guru sekolah sedang sibuk membuat persiapan untuk pembukaan semula sesi persekolahan melibatkan pelajar-pelajar kelas peperiksaan awam Rabu ini.

Bagi membantu kelancaran proses guru-guru yang berdedikasi ini, mahasiswa Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) membangunkan sebuah aplikasi yang dinamakan sebagai Datang.my, lapor Harian Metro.

Aplikasi tersebut sebagai persediaan untuk guru menerima kehadiran pelajar dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dilaksanakan sehingga 31 Ogos depan.

Muhammad Akif Rabbani Ab Rashid, 23, berkata aplikasi Datang.my boleh dimuat turun secara percuma di Google Play Store berupaya membantu guru merekodkan kehadiran pelajar menggunakan telefon pintar tanpa perlu mencatat secara manual.

Aplikasi ini membantu guru dengan hanya perlu mengimbas kod QR yang diberikan kepada pelajar yang dibawa mereka setiap kali hadir ke sekolah.

Aplikasi Kehadiran Pelajar Datang.my
Sumber: FB

Muhammad Akif mula membangunkan aplikasi periksa kehadiran pelajar bermula Ahad lalu dan ia berjaya disiapkan dalam tempoh dua hari.

Menurutnya, seorang guru teknologi maklumat (IT) dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Rinching menghantar kiriman mesej kepadanya bertanya sama ada mempunyai sistem untuk merekodkan suhu dan pelajar.

Bermula dari situ, tercetus idea mahasiswa ini untuk membangunkan aplikasi berkenaan. Sebanyak 20 sekolah mendaftar serta memuat turunnya pada hari pertama ia tersedia di Google Play Store dan kini sudah 300 sekolah mendaftar dari seluruh Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.

“Jujurnya, saya tidak terkejut dengan sambutan diterima kerana tahu keperluan guru yang mahukan aplikasi atau sistem seumpama itu.

“Malah, tiada cabaran teknikal dihadapi untuk membangunkan aplikasi berkenaan kerana saya mempunyai pengalaman sebelum ini.

“Buat masa ini, aplikasi itu hanya boleh dimuat turun di Google Play Store manakala di App Store pula dalam waktu terdekat,” katanya.

Aplikasi berkenaan juga boleh digunakan untuk merekod suhu dan waktu kehadiran pelajar dan data itu boleh dipindah kepada Excel serta dalam format PDF. Antara fungsi tambahan aplikasi Datang,my termasuklah penghantaran mesej dengan caj RM0.07 sen kepada ibu bapa sejurus pelajar tiba di sekolah.

Muhammad Akif yang sedang berkhdimat sebagai perunding perniagaan IT separuh masa berhasrat membangunkan aplikasi untuk merekodkan bacaan suhu pula.

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.Sempena sekolah yang nak bukak 24/06/2020 (Rabu) nanti, saya nak bantu semua…

Posted by Akif Rabbani on Saturday, June 20, 2020

Sumber: Harian Metro