
Pelajar Sabah Ini Perlu Luangkan Masa 24 Jam Atas Pokok Demi Jawab Peperiksaan ‘Online’
Habiskan masa 24 jam atas pokok demi jawab peperiksaan ‘online’
Berikutan penularan wabak COVID-19 melanda hampir seluruh dunia, semua institusi pendidikan seperti sekolah, universiti dan kolej negara yang terjejas terpaksa ditutup buat sementara waktu sehingga diberitahu kelak.
Pembelajaran dalam talian menjadi kemestian buat mereka yang bergelar pelajar untuk masa hadapan yang terjamin. Bagi mereka yang tinggal di kawasan yang mempunyai capaian Internet stabil, tiada masalah untuk mengikuti kelas ‘online’ tetapi nasib tidak menyebelahi mereka yang tinggal di kawasan yang sukar untuk mendapat akses Internet.
Jika anda menganggap semua pelajar di Malaysia mudah dengan pembelajaran normal baharu ini, mungkin anda silap.
Ini kisah mengenai seorang pelajar di Sabah mencari capaian Internet untuk menjawab peperiksaan
Masalah liputan jalur lebar yang terhad tidak mematahkan semangat seorang pelajar IPTA berasal dari Kampung Sapatalang, Pitas, Sabah yang sanggup tidur di atas pokok semata-mata untuk menjalani peperiksaan secara dalam talian.
Veveonah Mosibin, 18, pelajar jurusan Asasi Sains memuat naik video pengalaman dilaluinya menerusi saluran YouTube miliknya dengan tajuk 24 Hours On Tree | Challenge (Cabaran 24 jam atas pokok).
Video berdurasi 11 minit 21 saat itu memaparkan Veveonah terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet yang ‘kuat’ sepanjang peperiksaan dalam talian berlangsung pada 9 Jun lalu.
Dalam video tersebut, Veveonah mendedahkan, dia terfikir untuk melakukan cabaran itu setelah sebuah pondok yang dibina di atas bukit bagi tujuan persediaan menghadapi peperiksaan rosak dipercayai akibat cuaca buruk.
Pada awalnya, pelajar tersebut tidak terfikir untuk bermalam di atas pokok sepanjang hari peperiksaannya, tetapi sejak pondok yang dibuat di atas bukit beberapa minggu sebelum ini telah rosak.
“Sebelum ini saya telah bina pondok sebagai seperti video yang saya muat naik sebelum ini namun pagi ini (9 Jun), saya lihat ia telah rosak kerana saya sudah lama tidak datang, sudah berminggu-minggu kerana banyak kerja. Kerja di ladang, menoreh getah dan tolong ibu bapa.
“Jadi saya tidak tahu keadaan pondok itu. Bila saya datang rupanya sudah rosak,” katanya dalam video tersebut.
Berbekalkan kelambu, telefon bimbit, power bank, sebotol air dan beberapa bungkus nasi serta peralatan untuk menjawab peperiksaan, Veveonah berada di atas pokok tersebut dalam tempoh 24 jam dari jam 7.30 pagi.

Berdepan detik cemas
Ketika berada di atas pokok itu, Veveonah juga terpaksa berdepan detik cemas apabila seekor tebuan tanah bersaiz besar tersesat masuk ke dalam kelambunya.
“Agaknya tebuan ini tersesat. Ni kalau menggigit ni, memang sakit,” kata Veveonah yang membuka kelambu bagi menghalau serangga itu keluar.
Selesai menduduki peperiksaan pada sebelah petang, Veveonah tidak pulang sebaliknya kekal berada di atas pokok untuk tidur dan pulang keesokan paginya.
Veveonah mula aktif sebagai YouTuber sejak April lalu dan terdapat empat lagi video lain yang dimuat naik sejak sebulan lalu yang memaparkan perkongsian teknik cara hidup tradisional.
https://www.youtube.com/watch?v=-qxTyBWVLIU
Sebelum ini, kami juga ada memuat naik kisah para pelajar di Indonesia yang terpaksa mendaki gunung demi mencari talian Internet.
Sumber: Sinar Harian