
Pelajar Malaysia Wanita Asia Pertama Menang Anugerah Seni Bina Antarabangsa Dalam Kajian Bantuan Bencana
Pelajar seni bina, Siti Nurafaf Ismail dari Universiti Malaya telah membanggakan Malaysia apabila diumumkan sebagai pemenang RIBA Norman Travelling Scholarship.
Kemenangan ini juga memberikan beliau gelaran Wanita Asia Pertama yang memegang gelaran itu sejak tajaan ini dimulakan pada tahun 2006.
Siti mengalahkan ribuan pelajar seni bina lain dengan kertas cadangan penyelidikannya ‘Architecture of Humility’ yang mana akan melihat kepada peranan arkitek dalam komuniti masyarakat di zon bencana.
Untuk mendapat reaksi daripada juri bukanlah sesuatu yang mudah. Namun melihat kepada pilihan lokasi sehinggalah kepada bajet, Siti berjaya menawan hati juri dengan inisiatifnya menggunakan dana sendiri dalam kajian fasa pertamanya.
Akan mengkaji tiga bandar yang dilanda bencana alam, Siti telah menyelesaikan fasa pertama penyelidikannya di Lombok selepas dilanda gempa bumi pada Ogos 2018.
Dengan tajaan daripada RIBA (Royal Institute of British Architects) sebanyak £7,000 (+-RM36,000), beliau akan meneruskan kajian di Hokkaido dan Karachi, dua bandar raya yang hancur akibat gempa bumi baru-baru ini.
Di sana, Siti akan meneroka proses pembentukan semula komuniti selain daripada meneliti bagaimana ‘arkitek’ itu disesuaikan dengannya.
Berkongsi impiannya selepas bergraduasi, Siti berharap agar beliau mahir dalam bidang pengurusan bencana kerana kepentingan penglibatan artitek dalam pengurusan bencana meningkat sejajar dengan peningkatan bencana alam akibat daripada perubahan iklim.
Untuk pengetahuan anda, RIBA Norman Travelling Scholarship memberikan tajaan kepada pelajar seni bina yang menunjukkan potensi pencapaian cemerlang dan idea-idea bernas yang berkaitan dengan kelangsungan hidup bandar.
Buat pelajar yang berminat, anda bolehlah memohon untuk sesi yang akan datang pada Februari 2020 di laman ini.
Sumber:RIBA Architecture.com
Trending now



