
Pelaburan GO+ Touch ‘n Go eWallet Kini Patuh Syariah
Touch ‘n Go baru-baru ini mengumumkan produk pelaburan kewangan GO+ yang telah dilancarkan sebelum ini sebagai sebuah produk pelaburan patuh syariah.
GO+ telah diperkenalkan pada Mac 2021 yang lalu yang mana ia merupakan ciri pelaburan secara terbina pada Touch ‘n Go eWallet. Ini membolehkan pengguna melabur dan menerima pulangan setiap hari menerusinya.
Pada awalnya, Touch ‘n Go eWallet mengumumkan ciri pelaburan ini tidak patuh syariah sekali gus memberi kegusaran kepada pengguna Muslim untuk membuat pelaburan di situ.
Namun, kemaskini pihak TnG Digital melabelkan GO+ sebagai sebuah pelaburan patuh syariah menjadikannya mesra muslim yang membolehkan pengguna melakukan pelaburan serendah RM10 selain mendapatkan pulangan pendapatan untuk setiap hari.
TnG eWallet merupakan pengendali dompet digital pertama yang telah mendapat kebenaran sebagai pengendali pasaran yang diiktiraf (Recognised Market Operator) oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia yang membolehkan mereka mengedarkan produk pasaran modal secara langsung termasuk dana unit amanah menerusi platform e-dompet TNG tanpa memerlukan penglibatan pihak ketiga.
Fungsi pelaburan GO+ ini boleh diakses oleh pengguna e-dompet TNG bermula 29 Mac 2021 dan terbuka kepada rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun dan ke atas.
Bagi mereka yang menggunakan GO+ sebelum patuh syariah, dinasihatkan untuk membersihkan pulangan mengikut budi bicara.
Setakat ini, pihak TnG eWallet membenarkan pengeluaran ke akaun bank tanpa sebarang caj tambahan dan boleh dibawa keluar pada bila-bila masa sahaja dengan baki sekurang-kurangnya RM10.
Jika anda buat transaksi penambahan pelaburan sebelum jam 4 petang, keuntungan harian akan diberi pada hari seterusnya. Walaubagaimanapun, anda perlu tahu konsep pelaburan. Skim pelaburan GO+ ini juga tidak menjanjikan pulangan dan keuntungan.
Untuk mengetahui lebih lanjut, anda boleh layari laman web di SINI.
Trending now



