Tutup Aurat

Pekerja Wanita Tidak Tutup Aurat Dengan Sempurna, 51 Premis Perniagaan Kena Kompaun

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Sebanyak 51 premis perniagaan telah dikenakan kompaun oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) sepanjang tahun lalu atas kesalahan pekerja wanita yang tidak menutup aurat secara sempurna.

Menurut Yang Dipertua MPKB-BRI, Rosnazli Amin, kompaun dikenakan tersebut adalah menerusi operasi khas yang mendapati masih ada pekerja wanita yang tidak menutup aurat dengan sempurna seperti memakai baju-T berlengan pendek dan terlalu ketat.

Wartawan Rosliza Mohamed dari KOSMO! ONLINE melaporkan, kakitangan Jabatan Pembangunan Islam, MPKB-BRI juga sedang mempergiatkan semula operasi dengan memberi nasihat kepada pekerja-pekerja di premis perniagaan agar menutup aurat secara sempurna dan berpakaian sopan kepada wanita bukan Islam.

“Kita mengeluarkan kompaun maksimum sebanyak RM500 kepada pengusaha tersebut di bawah Undang-Undang Kecil Tred Perniagaan, Perniagaan dan Perindustrian MPKB-BRI bagi kesalahan tidak menutup aurat dan berpakaian tidak sopan.

“Bagi tahun 2021 pula, sebanyak 35 kompaun dikeluarkan kepada pengusaha premis perniagaan atas kesalahan itu. Jumlah itu menunjukkan peningkatan pada tahun lalu,” jelas Rosnazli.

“Usaha orang ramai terutamanya wanita di Kota Bharu untuk menutup aurat sudah boleh dipuji. Tetapi, pemahaman sebenar mengenai had atau batasan aurat seharusnya benar-benar dipatuhi.

“Masih ada wanita yang keliru apabila memakai tudung, namun berpakaian terlalu ketat dan berlengan pendek,” tambah beliau lagi.

Tutup Aurat

BACA: “Ini Bukan Menutup Aurat Ya Adik-Adik Sekalian. Ini Membungkus Aurat”

Sumber: KOSMO! ONLINE